Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Foto: MUHAIMIN MARWAN, 15 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Pas melahirkan kebimbangan berhubung persepsi meluas mengatakan pelantikan dalam rombakan Kabinet semalam dibuat tidak berlandaskan merit atau keperluan dasar.

Sebaliknya, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pelantikan itu dibuat susulan tekanan dan tawar-menawar politik.

Ujarnya, Pas turut mengambil perhatian tentang spekulasi bahawa rombakan Kabinet itu berkait rapat dengan kata dua politik oleh DAP.

Ia kata beliau, termasuk ancaman parti itu untuk menarik diri daripada kerajaan sekiranya beberapa tuntutan termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah-sekolah persendirian Cina tidak dipenuhi.

“Pas beranggapan sekiranya jawatan Kabinet digunakan sebagai ‘bunga emas’ politik untuk mengekalkan sokongan dan kesetiaan mana-mana pihak maka jelas bahawa ia merupakan hakisan serius terhadap idea dan institusi kerajaan berprinsip, sekali gus melemahkan integriti proses pembentukan serta penggubalan dasar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Takiyuddin merujuk khususnya kepada pelantikan Hannah Yeoh dan Datuk Lo Su Fui sebagai Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan selain pengekalan jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di tangan seorang lagi pemimpin DAP, Nga Kor Ming.

Menurut Takiyuddin, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bukan wilayah atau portfolio biasa sebaliknya ia mewakili ‘jantung politik dan pentadbiran negara’.

Sehubungan itu, ujarnya, pemusatan pentadbiran strategik bandar, kerajaan tempatan, perumahan dan pihak berkuasa tempatan di tangan pemimpin daripada sebuah parti dan etnik boleh menimbulkan persoalan besar, sah dan tidak dapat dielakkan.

Ia jelas beliau, khususnya berkait isu-isu ketidakseimbangan dan pemusatan kuasa melampau serta hala tuju sebenar pentadbiran negara.

Ujarnya, keadaan itu turut menimbulkan kebimbangan mendalam ia merupakan percaturan sengaja bagi mengukuhkan dominasi DAP di Kuala Lumpur dan pusat-pusat bandar utama lain di negara ini.

Dalam masa sama, tambah Takiyuddin, Pas juga mendapati pelantikan beberapa menteri dan timbalan menteri lain turut menimbulkan keraguan serius berkait isu-isu kekananan, pengalaman, kompetensi, ketrampilan, kredibiliti dan kesesuaian.

Ia ujar beliau, bukanlah lantikan ke jawatan dan peranan upacara tetapi merupakan portfolio penting sama ada melibatkan kepentingan generasi muda, ekosistem pendidikan mahupun hal-ehwal Islam dan sebagainya yang menuntut kematangan, kedewasaan dan kebolehan yang terbukti.

“Tanpa justifikasi meyakinkan bagi menyokong rombakan Kabinet dan pelantikan yang dibuat akan hanya memperkuatkan tanggapan bahawa kedudukan dalam Kabinet telah diagih-agihkan mengikut selera dan nafsu politik bukan kepentingan rakyat dan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast