SHAH ALAM – Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) mencipta kelainan apabila pelajar Perhubungan Awam melalui agensi pelajar PRhythm Agency menganjurkan MassComm Brewphoria x UniFi Mobile, sebuah
program inovatif yang menggabungkan elemen komunikasi, teknologi serta gaya hidup moden melalui medium budaya kopi sebagai simbol interaksi dan kreativiti generasi muda.
Program ini berlangsung di Dewan Serbaguna Kolej Seroja dan ruang parkir Kolej Seroja, UiTM Shah Alam, menghimpunkan pelajar, pensyarah, komuniti kampus serta pemain industri kreatif dalam satu platform pembelajaran kontemporari yang menggabungkan hiburan, pembelajaran dan pengalaman gaya hidup moden.
MassComm Brewphoria x UniFi Mobile dirangka sebagai program pembelajaran tidak formal yang memberi pengalaman praktikal kepada pelajar di luar bilik kuliah.

Program ini menampilkan gabungan aktiviti seperti UniFi Pocket Talk, Kuiz UniFi, Coffee Rave & Chill, Spill
the Coffee: PahitNya! (ruang perkongsian santai), Barista Latte Art Battle, Dance Battle, dan perkongsian mengenai AI bertajuk “The Future Belongs to Those Who Use AI to Dream Bigger”.
Aktiviti-aktiviti ini dirancang bagi meningkatkan kecekapan pelajar dalam komunikasi digital, pembangunan jenama, pengurusan acara, kemahiran interpersonal serta penyelesaian masalah kreatif, sejajar dengan tuntutan industri komunikasi masa kini.
Program ini turut melibatkan kolaborasi strategik bersama UniFi Mobile serta penyertaan pelbagai vendor kopi, matcha dan makanan yang menambah nilai pengalaman pengunjung.
Penyertaan vendor bukan sahaja mewujudkan suasana festival kopi, tetapi juga membuka ruang interaksi antara pelajar dan penggiat industri serta memberikan pendedahan terhadap realiti ekosistem perniagaan dan industri kreatif.
Interaksi langsung antara pelajar, pensyarah, penceramah jemputan dan pemain industri kreatif menjadikan program ini medan penting untuk pertukaran pandangan berkaitan masa depan komunikasi dan kandungan digital, perbincangan mengenai jenama, AI dan teknologi, serta pembinaan jaringan profesional.
Konsep Brewphoria mengangkat budaya kopi sebagai simbol hubungan sosial, pertukaran idea dan kreativiti generasi muda. Melalui program ini, pelajar digalakkan meneroka inovasi melalui aktiviti kreatif, memahami peranan teknologi dalam kehidupan seharian, dan mempraktikkan komunikasi strategik secara hands-on.

Pengalaman menyeluruh ini menyokong pembangunan graduan yang versatil, responsif dan bersedia menghadapi cabaran dunia komunikasi moden.
MassComm Brewphoria x UniFi Mobile bukan sekadar program gaya hidup, tetapi model pendidikan futuristik yang menggabungkan akademik, industri dan komuniti.
Pendekatan ini memberi impak positif kepada ekosistem pembelajaran UiTM, sekali gus menyokong usaha universiti untuk melahirkan graduan komunikasi yang kompeten dan berdaya saing.
Dengan sambutan menggalakkan daripada komuniti UiTM dan pemain industri, MassComm Brewphoria x UniFi Mobile membuktikan pendidikan kini bergerak ke arah pendekatan lebih kreatif, interaktif dan berasaskan pengalaman.
Program ini sekali lagi mengukuhkan reputasi UiTM sebagai institusi yang inovatif dalam memperkasa pembelajaran abad ke-21. – MAlaysiaGazette
















