Steven Sim bersama Mohamad Alamin (kiri) pada sidang media di Kuskop hari ini.

PUTRAJAYA – “Saya percaya seorang pemimpin Malaysia yang baik ialah pemimpin yang mampu menjaga semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

“Itu adalah amalan, kepercayaan serta prinsip saya,” kata Steven Sim Chee Keong, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop yang baharu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Menteri Kuskop, Tan Sri Noh Omar pada siding media selepas mendengar Taklimat Pengurusan Tertinggi KUSKOP pada hari pertama beliau mengetuai Kementerian itu, di sini, hari ini.

Malah, beliau juga yakin, timbalannya, Datuk Mohamad Alamin dari UMMO juga begitu.

Sim berkata, pendekatan inklusif kepimpinannya telah dibuktikan ketika menerajui Kementerian Sumber Manusia sebelum ini, dengan membela warga pekerja secara menyeluruh tanpa diskriminasi.

Menurut beliau, prinsip prinsip kepimpinannya sentiasa berteraskan keadilan dan pembelaan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Noh dalam kenyataan medianya sebelum ini melahirkan kebimbangan mengenai pelantikan menteri baharu bagi Kuskop dalam rombakan Kabinet dengan menimbulkan beberapa persoalan mengenai nasib usahawan dalam kalangan bumiputera.

Beliau mendakwa, penyerahan portfolio kementerian itu kepada seorang menteri daripada DAP, sebuah parti yang memperjuangkan kesamarataan dan sering mempertikaikan prinsip Dasar Ekonomi Baru menimbulkan persoalan untuk membela nasib perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bumiputra.

Mengulas lanjut, Sim berkata, sejak hari pertama menerajui kementerian berkenaan, pelbagai langkah telah diambil bagi memperkukuh sokongan terhadap perniagaan tempatan.

“Kita mahu memajukan perniagaan Malaysia. Apabila perniagaan Malaysia berkembang, yang mendapat manfaat ialah rakyat dan pekerja Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” jelas beliau.

Beliau turut menegaskan komitmen kementerian aalah untuk terus memperkasa ekosistem keusahawanan negara demi kesejahteraan ekonomi rakyat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast