Universiti Utara Malaysia

PASCA Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi sesi 2025/2026, tumpuan kini beralih daripada kehangatan berkempen kepada realiti pentadbiran. Seramai 16,297 mahasiswa telah menunaikan tanggungjawab memilih barisan pimpinan baharu daripada 87 calon yang bertanding, satu proses yang memperlihatkan tahap penyertaan demokrasi kampus yang semakin subur.

Namun, di sebalik keterujaan terhadap wajah-wajah baharu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), terdapat persoalan asas yang sering kurang diberi perhatian iaitu keberkesanan struktur kesatuan pelajar itu sendiri. Dengan komposisi unik 44 kerusi yang meliputi 10 Kerusi Umum dan 34 Kerusi Pusat Pengajian bagi mewakili 17 pusat pengajian, UUM sebenarnya memiliki rangka organisasi yang berpotensi menjadi model tadbir urus paling tersusun dalam kalangan Universiti Awam (UA).

Malangnya, potensi ini sering terbantut oleh amalan struktur hibrid yang menggabungkan peranan eksekutif peringkat universiti dan peranan legislatif pusat pengajian dalam kumpulan wakil yang sama. Persoalannya, adakah struktur ini benar-benar memanfaatkan kekuatan 34 wakil pusat pengajian ini atau adakah mereka sekadar melengkapkan jentera pentadbiran umum?

Dilema beban tugas dan konflik peranan
Dalam amalan semasa, wakil pusat pengajian sering memegang dua portfolio serentak. Pertama, mereka menjadi pelaksana di peringkat universiti dalam kluster seperti akademik, kebajikan, dan pemerkasaan mahasiswa. Kedua, mereka memikul tanggungjawab hakiki sebagai wakil pusat pengajian yang perlu menjaga isu akademik, fasiliti, dan kebajikan khusus di pusat pengajian masing-masing.

Situasi ini wujud kerana stigma bahawa 10 perwakilan umum (Majlis Tertinggi) dianggap tidak mencukupi untuk mengurus pentadbiran pusat. Justeru, wakil pusat pengajian diserap ke dalam jawatankuasa eksekutif untuk menampung beban kerja.
Kesan sampingannya kritikal.

Apabila fokus terbahagi dua, tumpuan kepada isu setempat di pusat pengajian sering terjejas akibat tuntutan program dan dasar di peringkat universiti. Akhirnya, tanggungjawab akar umbi di 17 pusat pengajian tidak dapat dipenuhi sepenuhnya dan wakil mahasiswa berdepan risiko burnout (keletihan melampau) kerana membawa dua beban serentak.

Formula 10 dan 34: Model pemisahan kuasa ideal
Sekiranya pemisahan kuasa (separation of powers) ditetapkan dengan jelas, UUM mempunyai struktur angka yang sangat ideal. Sepuluh wakil umum wajar membentuk Majlis Tertinggi (Eksekutif) yang berperanan sebagai kabinet universiti.

Reformasi ini mencadangkan agar 10 pemenang Kerusi Umum membentuk Kabinet Tertinggi (Majlis Tertinggi) yang terdiri daripada Empat AUKU iaitu Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua, Setiausaha Agung, Bendahari Kehormat. Timbalan Naib Yang Dipertua (TNYDP) pula memainkan peranan sebagai pelaksana utama di peringkat Majlis Tertinggi dan umum yang terdiri daripada tiga kluster utama iaitu Kebajikan, Pemerkasaan Mahasiswa dan Akademik.

Tugas mereka adalah mengurus isu makro merentas kampus seperti sistem pengangkutan bas, capaian internet, harga makanan, dan dasar universiti. Dengan sokongan sekretariat yang efisien, sepuluh individu ini memadai untuk mengetuai kluster utama tanpa perlu menarik wakil pusat pengajian sebagai pelaksana tambahan.

Manakala, 34 wakil pusat pengajian wajar membentuk Dewan Perwakilan (Legislatif) yang bebas. Fungsi utama mereka adalah membawa suara konstituensi pusat pengajian masing-masing, memantau keputusan Majlis Tertinggi, serta meluluskan belanjawan.

Dengan nisbah undi yang besar iaitu 34 berbanding 10, kuasa legislatif ini dapat memastikan ketelusan dan akauntabiliti sentiasa terpelihara. Sebaliknya, jika 34 wakil ini turut memegang portfolio eksekutif, fungsi semak dan imbang menjadi lemah kerana “semua pihak berada dalam kapal yang sama”.

Realiti baharu: Kehadiran blok pembangkang
Pada sesi 2025/2026 ini, landskap politik kampus UUM berubah secara signifikan. Buat pertama kalinya dalam tempoh yang lama, wujud blok pembangkang yang jelas apabila parti Perubahan Mahasiswa memenangi sembilan kerusi (dua umum dan tujuh pusat pengajian) setelah tewas secara majoriti kepada parti Mandat Mahasiswa.

Kehadiran blok pembangkang ini bukan sahaja menandakan peralihan politik kampus tetapi juga membuka ruang ke arah pemantapan struktur legislatif yang lebih matang. Cadangan mewujudkan blok pembangkang atau blok semak imbang kini bukan lagi sekadar teori, tetapi keperluan mendesak.

Jika digabungkan dengan pemisahan kuasa yang jelas antara eksekutif dan legislatif, keberkesanan fungsi semak dan imbang boleh dipertingkat secara sistematik, menjadikan perbahasan dasar lebih objektif dan kurang bersifat kepartian semata-mata.

Daripada retorik kepada pembaharuan institusi
Dalam era pasca-pindaan AUKU 1971, naratif semak dan imbang tidak boleh lagi tinggal sebagai retorik kempen. Ia memerlukan struktur yang menyokong budaya pengawasan dan akauntabiliti. Mahasiswa UUM wajar menuntut agar 34 wakil pusat pengajian diberikan ruang untuk menjalankan tanggungjawab legislatif sepenuhnya tanpa dibebankan dengan tugas eksekutif
pusat.

Ini akan memastikan suara setempat benar-benar didengari dan dasar universiti dapat diteliti dengan lebih telus.
Angka 10 dan 34 bukan sekadar statistik pilihan raya. Jika difahami dan diurus dengan tepat, ia berpotensi mewujudkan model tadbir urus mahasiswa yang paling berintegriti dan tersusun dalam negara.

Penulis ialah mahasiswa tahun akhir Pusat Pengajian Kerajaan dan mantan Timbalan Naib Yang Dipertua (Kebajikan) Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia Sesi 2024/2025.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast