Danish Hairudin
Danish Hairudin

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia mengecam keras kenyataan pimpinan Armada Bersatu yang cuba menggambarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai takut untuk membubarkan Parlimen.

AMK menyifatkannya sebagai tidak cerdik dan mencerminkan kepanikan politik sebuah parti yang semakin hilang relevan.

Ketua Penerangan AMK Malaysia, Danish Hairudin berkata, kenyataan berkenaan jelas memperlihatkan kegagalan Bersatu membaca realiti politik semasa serta ketandusan hala tuju selepas semakin ditinggalkan rakyat.

“Kenyataan ini bukan sahaja tidak cerdik, malah memperlihatkan kepanikan politik sebuah parti yang semakin hilang relevan dan ketandusan hala tuju,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat sebagai respon kepada dakwaan Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Harris Idaham Rashid yang mendakwa Anwar tidak berani membubarkan Parlimen lebih awal susulan prestasi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.

Mengulas lanjut, Danish berkata, ironi jelas apabila parti yang kini lantang bercakap soal keberanian politik adalah parti yang pernah menjatuhkan kerajaan sendiri, mengkhianati mandat rakyat serta meninggalkan negara dalam keadaan ekonomi yang porak-peranda.

Malah cubaan mengaitkan keputusan PRN Sabah dengan kononnya kegagalan kepimpinan nasional disifatkan sebagai helah murahan bagi menutup kegagalan Bersatu membina keyakinan rakyat, bukan sahaja di Sabah tetapi di seluruh negara.

Berbeza dengan pentadbiran terdahulu yang dipimpin Bersatu dan didakwa gagal mengawal ekonomi, menstabilkan politik serta menjaga kebajikan rakyat, Danish berkata Kerajaan MADANI kini sedang membetulkan kerosakan yang ditinggalkan.

“Ekonomi hari ini berkembang secara konsisten, inflasi terkawal dan keyakinan pelabur kembali meningkat. Ini fakta, bukan persepsi,” jelasnya.

Beliau turut menyindir Bersatu yang pernah mentadbir tanpa hala tuju fiskal dan meninggalkan defisit besar namun kini cuba mengajar soal strategi pembubaran Parlimen.

“Lebih melucukan, Bersatu yang pernah mentadbir tanpa hala tuju fiskal, bergantung sepenuhnya kepada populisme dan meninggalkan defisit besar kini kononnya mahu mengajar soal strategi pembubaran Parlimen,” katanya.

Danish menegaskan, keputusan Perdana Menteri untuk tidak membubarkan Parlimen sesuka hati adalah langkah bertanggungjawab demi kestabilan ekonomi dan kepentingan rakyat, bukannya alat politik untuk menyelamatkan diri.

“Hanya pemimpin yang gagal mentadbir sahaja melihat pilihan raya sebagai alat menyelamatkan diri bukannya amanah besar kepada negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, rakyat tidak lupa pihak yang mencetuskan ketidaktentuan politik dan mengkhianati mandat pilihan raya, sambil mencabar Armada Bersatu menjawab pencapaian sebenar parti itu ketika mentadbir negara.

“Saya mencabar Armada Bersatu supaya berhenti bermain skrip lama dan menjawab satu soalan mudah, apa sebenarnya pencapaian ekonomi Bersatu ketika memerintah negara?” soalnya.

Beliau menegaskan, AMK akan terus mempertahankan kepimpinan Anwar dan Kerajaan Madani daripada serangan hipokrit serta tidak berfakta, sambil menambah bahawa rakyat kini semakin matang dalam menilai realiti politik.

“Rakyat hari ini lebih bijak. Fitnah mungkin kuat, tetapi rekod kegagalan Bersatu jauh lebih kuat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast