Antara longgokan kayu balak yang terdapat di Desa Geudumbak, Aceh Utara, Indonesia.

ACEH – Desa Geudumbak, Langkahan dekat sini merupakan antara kampung paling teruk terkesan akibat banjir besar yang melanda pada 26 November lalu.

Hujan lebat berturut-turut selama tiga hari mengakibatkan banjir sehingga mencecah paras bumbung sekali gus menenggelamkan rumah-rumah di situ.

Banjir tersebut yang disifatkan penduduk setempat paling teruk pernah berlaku itu memusnahkan 100 daripada 150 buah rumah iaitu kira-kira hampir 90 peratus kediaman di desa berkenaan.

Rumah-rumah tersebut roboh dan kenderaan penduduk hilang dibawa arus banjir berlumpur bercampur-campur kayu-kayu balak dari gunung berhampiran sebelum hanyut dalam sungai berdekatan.

Bah turut menghanyutkan haiwan peliharaan selain memusnahkan 200 hektar kebun sawit, kebun kelapa, tanaman kelapa, durian, jagung dan limau nipis menjadi padang jarak padang terkukur.

Menurut imam di surau kampung itu, Rostam Abdullah, 49, semasa banjir sebahagian penduduk menyelamatkan diri dan berlindung di rumah ibadat tersebut kerana air naik dengan cepat.

Katanya, sebahagian lagi menyelamatkan diri ke sekolah dan tempat tinggi dengan mendirikan khemah sebagai tempat tinggal sementara dalam keadaan tiada bekalan makanan dan bekalan elektrik terputus.

“Seramai 40 penduduk berlindung di surau dua tingkat di kampung ini dan mereka duduk atas bumbung selama dua hari dalam keadaan lapar dan kesejukan, hanya minum air hujan.

“Banjir ini turut meragut lapan nyawa penduduk dengan seorang mayatnya masih hilang sehingga kini,” ujar bapa kepada empat anak itu.

Dia berkata demikian ketika pemberita ketika ditemui dalam Misi Kemanusiaan Sumatera 2025 di surau tersebut, semalam yang dijadikan pusat perlindungan mangsa banjir dan tempat mengagihkan bantuan.

Misi tersebut dianjurkan Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) dan Pasaraya Econsave yang bermula 18 hingga 23 Disember ini dalam usaha memberi bantuan kepada mangsa banjir di kawasan Aceh dan sekitarnya.

Sementara itu, tinjauan Malaysia Gazette di desa berkenaan mendapati jalan masuk utama rosak, masih berlumpur dan berselut tebal serta digenangi air namun penduduk sudah menggunakannya untuk aktiviti serta urusan harian.

Khemah-khemah masih digunakan mangsa banjir yang kehilangan rumah dan terdapat banyak sisa banjir, perabot, peralatan dilonggokkan depan kediaman selain surau dan beberapa kawasan tepi jalan dijadikan tempat mengagihkan bantuan.

Difahamkan kawasan tersebut paling lewat mendapat bantuan kerana terputus hubungan dan kedudukannya yang terpencil iaitu hampir tiga jam perjalanan dari bandar terdekat iaitu di Lhoksumawe.

Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan boleh melalui MyCare menerusi CIMB bank Berhad 8602135592.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast