TEHRAN – Iran melaksanakan hukuman mati ke atas seorang lelaki yang disabitkan kesalahan menjadi pengintip untuk Israel, menurut pengumuman badan kehakiman negara itu pada hari Sabtu.
Agensi berita Mizan melaporkan, hukuman mati terhadap Aghil Keshavarz telah dilaksanakan selepas keputusan tersebut dikekalkan oleh Mahkamah Agung.
Lelaki berkenaan didapati bersalah kerana mengintip untuk rejim Zionis, berkomunikasi dengannya, serta mengambil gambar tapak ketenteraan dan keselamatan.
Agensi itu menggambarkan Keshavarz sebagai ejen kepada perkhidmatan perisikan luar Israel, Mossad.
Keshavarz telah ditangkap antara April dan Mei di bandar Urmia, di barat laut Iran.
Ini merupakan hukuman mati terbaharu sejak tercetusnya perang selama 12 hari pada Jun lalu antara dua musuh ketat Iran.
Sejak itu, Iran berikrar untuk menjalankan perbicaraan pantas terhadap individu yang disyaki bersekongkol dengan Israel.
Pihak berkuasa telah mengumumkan beberapa tangkapan dan sekurang-kurangnya 10 hukuman mati terhadap individu yang disabitkan kesalahan bekerja untuk Mossad.
Iran tidak mengiktiraf Israel dan sejak sekian lama menuduh negara itu terlibat dalam aktiviti sabotaj dan pembunuhan.
Pada Oktober lalu, Tehran memperketat undang-undang serta hukuman terhadap mereka yang dituduh mengintip untuk Israel dan Amerika Syarikat.
Undang-undang baharu itu mewajibkan penyitaan semua aset dan membenarkan hukuman mati.
Undang-undang sebelum ini tidak menyasarkan negara tertentu dan tidak semestinya mengenakan hukuman mati bagi kesalahan pengintipan. – Agensi
















