Skuad badminton lelaki negara meraih pingat perak dalam acara berpasukan, mengulangi pencapaian di Kemboja dua tahun lalu.

BANGKOK – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggesa semua pihak supaya tidak terburu-buru membuat kesimpulan susulan kegagalan skuad badminton negara mencapai sasaran empat pingat emas pada Sukan SEA Thailand 2025 yang melabuhkan tirainya hari ini.

Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata, pencapaian keseluruhan pasukan tidak wajar dinilai secara terasing walaupun skuad negara dibarisi pemain bertaraf dunia seperti bekas juara dunia beregu lelaki 2022, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta juara dunia beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Pada temasya kali ini, pasukan badminton negara menamatkan kempen dengan satu pingat emas, dua perak dan enam gangsa.

Kenny yang juga Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia menjelaskan pembangunan badminton negara dilaksanakan berdasarkan perancangan jangka pendek dan jangka panjang dengan penanda aras prestasi yang telah ditetapkan.

Kita tidak boleh terlalu cepat menjatuhkan hukuman terhadap pasukan badminton. Sukan ini mempunyai perancangan jangka pendek dan jangka panjang.

“Kita telah menetapkan beberapa ‘milestone’ dan salah satunya adalah Sukan SEA. Mungkin sasaran itu tidak dicapai kali ini, namun terdapat kejohanan lain seperti World Tour Finals yang juga menjadi ukuran prestasi.

Dalam pada itu, Kenny mengingatkan agar kegagalan pada satu kejohanan tidak dijadikan alasan untuk bertindak secara berlebihan kerana ia boleh memberi kesan negatif terhadap pembangunan jangka panjang sukan tersebut.

Bagaimanapun, beliau mengakui satu penilaian dalaman tetap akan dijalankan bagi mengenal pasti kelemahan sepanjang kempen Sukan SEA serta memastikan sasaran masa depan kekal berada pada landasan yang ditetapkan. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast