Ahmad Zahid Hamidi menyaksikan persembahan kanak-kanak selepas melancarkan majlis pengumuman pakej lengkap Desa Kirana di Kamping Batu 23, Sungai Nibong, Sekinchan, hari ini.

SEKINCHAN – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menawarkan 25 lokasi Desa Kirana sebagai destinasi pelancongan desa bernilai tinggi untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Desa Kirana merupakan pendekatan strategik pakej pelancongan desa yang komprehensif dan menjadikan komuniti setempat sebagai penggerak utama sekali gus menjana ekonomi setempat.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, program ini diperkenalkan  menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), dengan memberi penekanan kepada lima elemen tarikan utama iaitu warisan dan kebudayaan, tarikan alam semula jadi, gastronomi tempatan, produk tradisional dan pengalaman kehidupan desa.

“25 Pakej Lengkap Desa Kirana ini sebagai komitmen kerajaan untuk menjadikan desa sebagai destinasi pelancongan bernilai tinggi.

“Melalui Desa Kirana, kita pakejkan tarikan pelancongan desa sedia ada yang berpotensi, ke dalam satu pengalaman pelancongan yang menyeluruh dan kita bantu promosi dan hebahkan kepada umum sama ada dalam dan luar negara,” kata beliau ketika berucap pada majlis pengumuman pakej lengkap Desa Kirana di Kampung Batu 23, Sungai Nibong, Sekinchan, hari ini.

Ahmad Zahid Hamidi memukul gong sebagai simbolik pelancaran majlis pengumuman pakej lengkap Desa Kirana di Kamping Batu 23, Sungai Nibong, Sekinchan, hari ini.

Jelas beliau, program ini bukan sahaja memperkukuh daya saing destinasi pelancongan desa, malah membuka peluang penjanaan pendapatan baharu kepada masyarakat setempat melalui penginapan inap desa, aktiviti pelancongan berasaskan komuniti dan pengeluaran produk tempatan.

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan peningkatan pendapatan komuniti setempat sebanyak 20 peratus pada tahun 2026, dengan mengambil kira potensi dan keunikan pada setiap lokasi melalui program Desa Kirana.

Program Desa Kirana melibatkan satu kampung masing-masing di Perlis, Sabah, Pahang, Melaka, Kelantan, Selangor dan Pulai Pinang; dua kampung di Kedah, Negeri Sembilan dan Johor dan masing-masing tiga kampung di Terengganu dan Sarawak serta enam kampung di Perak.

Sebagai permulaan, Ahmad Zahd berkata, KKDW akan memberi tumpuan kepada kepada
kampung-kampung yang pernah menerima pengiktirafan seperti Anugerah Desa Madani KKDW, Anugerah Kampung Sejahtera, Kampung Ceria Felda dan Program Desa Lestari.

Pemilihan lokasi juga mengambil kira kesediaan lokasi dari aspek prasarana, kemudahan sokongan serta potensi produk pelancongan desa yang boleh dibangunkan.

Menariknya, setiap lokasi Desa Kirana menawarkan produk pelancongan yang tersusun dan pengalaman autentik yang berbeza-beza kepada para pengunjung.

“Insya-Allah Pakej Lengkap Desa Kirana ini melambangkan azam KKDW untuk memastikan pembangunan luar bandar tidak lagi bersifat sampingan, tetapi menjadi tunjang utama kepada kekuatan dan kestabilan ekonomi negara.

“Kita mahu ekonomi desa bukan sekadar bertahan, tetapi melonjak dan
menjadi pemain utama.,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast