ACEH – Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) dan Pasaraya Econsave menganjurkan Misi Kemanusiaan Sumatera 2025 bagi membantu mangsa banjir di Medan dan Aceh yang terkesan akibat banjir besar pada 26 November lalu.
Misi tersebut yang bermula 18 hingga 23 Disember ini menyampaikan beberapa bentuk bantuan kepada mangsa banjir yang sebahagian mereka hilang tempat tinggal dan tinggal sehelai sepinggang.
Menurut Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam, pihaknya dan MyCare memperuntukkan RM100,000 dalam misi tersebut termasuk derma yang disumbangkan rakyat Malaysia.
“Antara bantuan yang kita berikan seperti 300 kanvas untuk mangsa banjir mendirikan khemah untuk tempat tinggal sementara. Kita juga adakan dapur umum iaitu 200 pek makanan setiap hari selama 10 hari diberikan kepada penduduk.
“Bagi jangka masa panjang kita rancang dirikan Rumah Senyum untuk penduduk yang rumahnya musnah dan dihanyutkan banjir hujung bulan lalu. Kita akan mula bina pada Januari tahun depan dengan kos antara RM2,000 hingga RM4,000,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan kanvas dan pek makanan kepada mangsa banjir di surau Desa Geudumbak dekat sini semalam.
Mas Imran berkata, pihaknya dan MyCare akan melihat keperluan lain mangsa banjir dan bantuan akan diberikan dalam misi susulan selepas ini.
Ditanya pemilihan Desa Geudumbak sebagai lokasi mengagihkan bantuan, beliau berkata, ini kerana kampung tersebut agak jauh dari kampung lain yang dilanda banjir dan lambat menerima bantuan daripada pihak luar.
Sementara itu, Pengurus Projek MyCare, Noorsyazli Rameli berkata, tujuan program tersebut adalah untuk membantu seberapa ramai mangsa banjir yang terjejas teruk dalam usaha meringankan beban mereka.
Beliau yang juga ketua misi tersebut berkata, contohnya kampung tersebut tidak menerima bantuan sebelum ini kerana kedudukannya yang terpencil dan kesusahan mereka tidak disedari.
“Para penyumbang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan serta luar hanya mengetahui keadaan mereka selepas tular dalam media sosial,” katanya.- MalaysiaGazette
















