MELAKA – Isu dekorasi Krismas yang menimbulkan polemik tidak seharusnya diperbesarkan sehingga menimbulkan persepsi kononnya tiada toleransi antara kepimpinan dan dasar yang telah ditetapkan.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, perkara tersebut perlu dilihat secara rasional dan menyeluruh khususnya dalam konteks kepelbagaian agama serta budaya yang telah lama diamalkan di negeri ini secara harmoni.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak pernah melarang mana-mana perayaan termasuk sambutan Krismas diraikan, malah menggalakkan semua pihak meraikannya secara bijaksana dan saling menghormati antara satu sama lain.
“Toleransi di antara kepimpinan dan dasar yang telah diumumkan bagi memastikan bahawa siapa juga yang memohon untuk memilih sijil halal melalui Jakim, syarat yang dikenakan adalah perkara-perkara yang telah pun dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
“Jadi pihak kerajaan negeri tidak melarang mana-mana perayaan ini boleh diraikan secara bijaksana.
“Tetapi syarat dalam permohonan untuk mendapatkan sijil kelayakan halal itu telah memperuntukkan bahawa dapur-dapur tidak boleh dihias dalam kaedah mengikut suasana keagamaan masing-masing kerana mengelirukan umat Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2025 di sini.
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, bagaimanapun di lobi-lobi atau di mana sahaja di luar daripada kawasan dapur halal, dekorasi boleh dilakukan mengikut kehendak premis berkenaan.
“Buatlah kalau nak buat pokok Krismas setinggi bangunan silakan, tetapi perkara ini tidaklah perlu diperbesarkan seolah-olah menyekat daripada perayaan Krismas.
“Kita tidak rigid dalam pelaksanaan undang-undang ini, maka pandai-pandailah untuk kita sama-sama dapat meraikan Krismas ini dalam kepelbagaian budaya kita,” katanya. – MalaysiaGazette
















