KUALA LUMPUR – Pemaju yang bertanggungjawab membangunkan semula Kampung Sungai Baru diingatkan supaya mengutamakan pembinaan dua blok pangsapuri yang dijanjikan kepada penduduk sebelum ini.
Ahli Parlimen Titiwangsa merangkap Menteri Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penduduk yang sudah menunggu selama lapan tahun berhak mendapat rumah mereka lebih awal berbanding pembeli lain.
“Kita mahu tengok pemaju ini boleh selesaikan atau tidak. Jangan sibuk buat perkara lain, selesaikan dua blok dulu supaya penduduk yang sebelum ini boleh masuk rumah (dapat rumah).
“Kalau nak buat semua dahulu, bila nak siap? Sebab yang nak disiapkan semua untuk dijual kepada orang luar tapi yang tuan punya tanah perlu dapat rumah dulu. Baru boleh jual yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Majlis Perasmian Program Citrawarna Kampong Bharu 125 Tahun yang Pintasan Saloma, hari ini.
Tambah Johari, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga perlu memastikan pembinaan bagi dua blok disiapkan dalam tempoh yang sepatutnya.
“Saya sudah cakap dengan Datuk Bandar, perlu fokus dulu untuk bina rumah penduduk yang sebelum ini (dua blok) sebab perlu bawa balik penduduk yang sebelum ini tinggal di situ, yang dijanjikan unit sebelum ini,” katanya lagi.
Pada 30 November yang lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru.
Ia sebagai simbolik detik bersejarah bermulanya pembinaan rumah di situ setelah hampir 10 tahun penduduk yang terlibat dalam penjualan sebelum ini menantikan kediaman masing-masing.
Dr Zaliha turut menyifatkan pembinaan berkenaan menamatkan di Kampung Sungai Baru itu selesai.
Mengulas lanjut mengenainya, Johari berharap tidak ada lagi episod penganiayaan penduduk dilakukan oleh pemaju pada masa akan datang.
Sebagai rekod, projek pembangunan semula itu bakal menyaksikan pembinaan beberapa unit kondominium lengkap dengan pelbagai fasiliti bagi keselesaan penduduk.
Terdapat dua jenis unit kediaman yang akan dibina berkeluasan 900 kaki persegi ke atas sehingga 1,200 kaki persegi ke atas yang meliputi tiga bilik dan tiga bilik air.
Dalam pada itu, Johari menggalakkan program-program warisan diadadakan di Kampung Baru bagi tujuan mempromosikan kepada pelancong tempatan dan luar negara. – MalaysiaGazette
















