KEJADIAN seorang gelandangan yang diperlakukan secara tidak wajar yang videonya tular di dalam media sosial baru-baru ini. - Sumber: MEDIA SOSIAL

KUASA internet dan fenomena tular sekali lagi membuktikan pengaruhnya.

Satu kejadian baru-baru ini menyentuh hati orang ramai apabila seorang gelandangan diperlakukan secara tidak sepatutnya di hadapan sebuah bank di ibu negara.

Rakaman video yang tersebar itu telah menyelamatkan kehidupan seorang individu, mengembalikan maruahnya serta membolehkan beliau bersatu semula dengan isteri dan dua orang anaknya di India.

Peristiwa itu bermula apabila seorang lelaki disiram dengan air dan dipukul oleh dua orang individu.

Walaupun tiada siapa yang mahu kejadian sebegitu berlaku, ia membuka mata masyarakat tentang betapa mudahnya manusia diperlakukan tanpa belas kasihan, terutamanya apabila mereka berada dalam keadaan paling lemah dan perlukan bantuan.

Namun tujuan utama penulisan ini bukanlah untuk menuding jari atau mencari siapa bersalah dalam kejadian berkenaan.

Sebaliknya, saya ingin mengajak pembaca melihat sisi positif yang muncul daripada insiden tersebut, walaupun ia pada awalnya bermula sebagai peristiwa yang menyedihkan dan memperlihat sisi nilai tidak baik dalam kalangan segelintir rakyat negara ini.

Sewaktu video itu mula tular, mungkin ramai yang mempersoalkan mengapa individu yang merakamkan video berkenaan tidak tampil membantu mangsa.

Ini adalah soalan biasa yang ditanya terhadap perakam video sesuatu kejadian. Kenapa tidak membantu tetapi sibuk merakam?

Tetapi dalam keadaan tertentu, seperti kes ini, tindakan merakam menjadi satu-satunya cara untuk memastikan wujudnya bukti yang akhirnya membuka jalan kepada keadilan kepada mangsa.

Tanpa rakaman tersebut, kisah hidup lelaki warganegara India itu mungkin tidak akan diketahui sesiapa, dan nasibnya mungkin terus akan hidup sebagai gelandangan di bumi yang baru beberapa bulan menjadi tempat kediaman beliau.

Rakaman yang tular itu bukan sahaja menarik perhatian masyarakat, malah menggerakkan NGO, pihak berkuasa dan orang awam untuk bertindak.

Hasilnya, mangsa akhirnya memperoleh semula dokumen pengenalan diri, termasuk pasport antarabangsa, dan dibantu pulang ke negara asalnya.

Kejadian ini membuktikan bahawa fenomena tular bukan sekadar hiburan digital tetapi boleh menjadi alat untuk menggerakkan kuasa rakyat untuk melindungi mereka yang tidak mampu bersuara.

Kes ini menjadi contoh jelas bagaimana kuasa viral, apabila digunakan secara bertanggungjawab, mampu mengubah masa depan seseorang.

Namun begitu, kita juga tidak boleh menafikan bahawa kuasa tular adalah pedang bermata dua.

Dalam mengangkat seorang mangsa, masyarakat kadangkala secara tidak sengaja menjatuhkan individu lain.

Dua pelaku dalam video tersebut misalnya, berdepan kecaman dan serangan siber yang melampau.

Kita mungkin tidak bersetuju dengan tindakan mereka, tetapi menghukum melalui media sosial tanpa memahami latar belakang sebenar juga bukanlah penyelesaian yang adil.

Justeru, rakaman seperti ini sepatutnya dikongsi dengan lebih berhati-hati, termasuk mengaburkan wajah semua pihak bagi mengelakkan mana-mana individu menjadi mangsa buli siber.

Dalam era digital yang pantas ini, kita sering terperangkap dalam budaya “rekod dahulu, bantu kemudian.”

Namun masyarakat perlu lebih matang dalam membuat pertimbangan tentang apa yang wajar dirakam dan apa yang wajar dikongsi.

Rakaman yang memberi manfaat kepada keselamatan awam, menegakkan kebenaran atau mendedahkan ketidakadilan wajar disebarkan.

Tetapi video yang memalukan seseorang seperti orang tertidur di tren, aksi peribadi yang dirakam tanpa izin atau apa-apa kandungan yang merendahkan maruah individu tidak sepatutnya menjadi bahan tular hanya kerana ia menarik dan berunsur sensasi untuk ditonton.

Kita harus menguruskan fenomena tular ini seperti menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.

Kita harus membantu mangsa tanpa mencipta mangsa baharu.

Kita mahu masyarakat celik digital, bukan masyarakat yang sewenang-wenangnya melanggar etika demi tontonan.

Kes gelandangan ini membuktikan bahawa satu video mampu menyelamatkan hidup seseorang, tetapi dengan cara yang sama, video yang tidak dikendalikan dengan berhemah juga mampu menghancurkan hidup orang lain.

Oleh itu, gunakanlah kuasa viral dengan bijaksana kerana di hujung setiap rakaman, ada maruah individu, ada manusia, dan ada nyawa yang mungkin terkesan.

Dr. B. Rani Ann

Pensyarah Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast