Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Rombakan Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai satu reset besar terhadap prestasi kerajaan dan bukan sekadar pertukaran jawatan atau imbangan politik.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, rombakan berkenaan wajar dilihat sebagai usaha memperbaiki kelemahan sedia ada khususnya dalam memastikan agenda reform kerajaan dapat diterjemahkan secara berkesan dalam kehidupan seharian rakyat.

“Hakikatnya, kerajaan hari ini tidak berdepan masalah kekurangan reform. Masalah sebenar ialah reform yang dibuat tidak dapat diterjemahkan dengan baik kepada kehidupan rakyat, sehingga kebaikan dasar gagal dirasai dan difahami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Selasa lalu, Anwar mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan Madani melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri, merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu bagi memastikan Jemaah Menteri berfungsi sebagai satu pasukan yang lebih berkesan.

Rombakan itu menyaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa serta Timbalan Menteri Perpaduan, Saraswathy Kamdasamy tidak disenaraikan dalam barisan Kabinet baharu.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, kerajaan tidak wajar mengulangi kesilapan mengumumkan dasar atau pindaan undang-undang yang belum benar-benar matang sehingga terpaksa ditangguhkan susulan bantahan awam.

“Keadaan ini bukan sahaja melemahkan keyakinan rakyat malah memberikan peluru politik percuma kepada pembangkang untuk membina persepsi bahawa kerajaan tidak yakin dengan dasar sendiri,” katanya.

Beliau turut menjadikan isu rasionalisasi subsidi sebagai contoh jelas kelemahan penyampaian kerajaan walaupun langkah tersebut tepat dari sudut dasar dan keperluan fiskal negara.

“Namun dari sudut komunikasi politik, kerajaan gagal menjelaskan siapa yang dilindungi, siapa yang selama ini bocor menikmati subsidi dan bagaimana penjimatan tersebut dikembalikan semula kepada rakyat.

“Akibatnya, rakyat hanya melihat harga naik bukan perlindungan yang diberikan,” katanya.

Mengulas prestasi pilihan raya dan sokongan rakyat, Mahfuz menegaskan, ia tidak wajar disederhanakan dengan alasan kerajaan terlalu reformis atau belum cukup reform.

“Itu adalah penafian terhadap kelemahan sendiri. Masalah sebenar ialah kelemahan jentera, kegagalan naratif, dan jurang besar antara elit pembuat dasar dengan realiti hidup rakyat,” katanya.

Menurut Mahfuz, rombakan Kabinet ini perlu disusuli perubahan pendekatan yang jelas bagi membuktikan Kerajaan Perpaduan bukan sahaja betul dari segi niat dan dasar, malah mampu memenangi keyakinan serta hati rakyat. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast