MELAKA – Masalah teknikal pada mesin paramotor dipercayai menjadi punca peserta aktiviti paramotor (paragliding bermotor) terlanggar kabel elektrik pada Program Larian Antarabangsa Budaya Duyong 2025, Melaka semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa bagaimanapun selamat dan hanya mengalami luka calar di pipi tanpa sebarang kecederaan serius dalam kejadian kira-kira 8.40 pagi itu.
“Kejadian dipercayai berpunca daripada masalah teknikal pada mesin paramotor salah seorang daripada empat pengendali paramotor dari sebuah kelab di Selangor itu mengakibatkan mangsa terlanggar kabel elektrik TNB.
“Pelanggaran menyebabkan lelaki itu terhempas ke kawasan sawah Kampung Ku Sayang, Bukit Baru, pada ketinggian kira-kira 30 meter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Christopher, mangsa hanya mengalami luka ringan di bahagian muka dan tidak mengalami kecederaan serius, selain kejadian turut tidak melibatkan kecederaan kepada orang awam yang berada di lokasi kejadian.
Semalam, MalaysiaGazette melaporkan, tular beberapa klip video kejadian semasa program larian unik edisi ketiga itu yang dihadiri lebih 20,000 peserta daripada seluruh negara termasuk Indonesia.
Insiden itu dirakam pengunjung memperlihatkan detik cemas ketika mangsa dipercayai hilang kawalan. – MalaysiaGazette
















