Bakri Jamaluddin.

MELAKA – Perikatan Nasional (PN) Negeri Melaka menolak cadangan pembinaan projek mega Jambatan Pengkalan Balak–Dumai sepanjang 47.7 kilometer yang didakwa dikemukakan tanpa ketelusan serta penjelasan menyeluruh kepada rakyat.

Ketua Penerangannya, Bakri Jamaluddin berkata, pihaknya memandang serius perbincangan berterusan mengenai projek berkenaan yang didakwa tidak melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen PN.

Menurut beliau, sehingga kini rakyat tidak diberikan penjelasan berkaitan keperluan ekonomi sebenar projek itu, struktur kos, kebolehlaksanaan fiskal serta impak ekonomi jangka panjang kepada Melaka dan negara.

“Projek mega berskala besar seperti ini perlu dinilai secara kritikal memandangkan kerajaan Persekutuan dan negeri sedang berdepan kekangan fiskal serta tahap keberhutangan awam yang tinggi.

“Berdasarkan anggaran terdahulu, projek jambatan rentas sempadan berskala besar berpotensi menelan kos puluhan bilion ringgit, sekali gus membawa kos peluang yang besar dalam konteks sumber awam yang terhad,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sebagai contoh, setiap RM1 bilion yang dibelanjakan bagi projek berisiko tinggi ini boleh membiayai puluhan projek tebatan banjir, pembinaan tram khas sepanjang Pantai Selat – Klebang, naik taraf sekolah dan hospital, atau program peningkatan produktiviti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Melaka.

Ahli Parlimen Tangga Batu itu turut mempersoalkan perbelanjaan awal RM500,000 dana awam oleh kerajaan negeri bagi kajian kebolehlaksanaan projek berkenaan tanpa pendedahan proses yang jelas.

“Jumlah tersebut sepatutnya boleh dimanfaatkan secara lebih bersasar, termasuk pemberian bantuan tunai atau baucar RM100 kepada 5,000 warga emas di Melaka yang mampu merangsang perbelanjaan domestik dan memberi kesan ekonomi segera,” katanya.

Beliau turut menimbulkan kebimbangan terhadap pulangan ekonomi sebenar dan kesan pengganda projek berkenaan kepada ekonomi tempatan.

Menurut Bakri, pelaburan bagi mengoptimumkan infrastruktur sedia ada seperti Lapangan Terbang Melaka dan perkhidmatan feri Melaka–Dumai lebih realistik, melibatkan kos lebih rendah, tempoh pelaksanaan singkat serta pulangan ekonomi yang lebih cepat kepada komuniti setempat.

“Langkah itu mampu memberi manfaat langsung kepada sektor pelancongan, nelayan, peniaga kecil serta rantaian bekalan tempatan di kawasan Pengkalan Balak.

“Setiap projek mega mesti berpaksikan keperluan rakyat, kecekapan perbelanjaan awam, analisis kos, manfaat yang telus serta tadbir urus yang baik,” tegasnya.

PN turut kesal dengan sikap berdiam diri Ahli Parlimen Kota Melaka yang pernah membantah projek mega sama ketika dianggarkan bernilai RM40 bilion pada 2009 dan RM50 bilion pada 2013, namun kini gagal menyatakan pendirian konsisten selepas berada di blok kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast