BANJIR dahsyat yang melanda Aceh pada 26 November lalu bukan sahaja memusnahkan rumah, kebun dan ternakan hingga hanyut dibawa arus tetapi turut melenyapkan harapan serta meninggalkan keperitan hidup yang sukar digambarkan.
Namun di sebalik musibah yang melanda, operasi Rumah Senyum bagai mengubat luka serta kesedihan yang menghadirkan pelangi selepas hujan.
Dalam keperitan, kesedihan, kesakitan dan keperitan untuk bangkit semula, Rumah Senyum seperti menyalakan semula obor harapan mangsa banjir yang sebelum ini hidup gelap gelita walaupun di siang hari.
Projek kemanusiaan Rumah Senyum it u adalah hasil inisiatif Pasar Raya Econsave dan Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCare) membina kediaman sementara kepada mangsa banjir terutama yang kehilangan rumah dam segala-galanya.
“Rumah Senyum bukan sekadar tempat berteduh tetapi menjadi ruang untuk mangsa-mangsa banjir di Aceh kembali merasa selamat dan membina semula harapan serta masa depan.
“Kehadiran Rumah Senyum bukan hanya struktur fizikal tetapi simbol keprihatinan dan solidariti kemanusiaan Malaysia terhadap mangsa banjir di Indonesia yang diuji dengan dugaan berat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Misi Kemanusiaan Sumatera 2025 di surau Desa Geudumbak Aceh Utara, semalam yang dijadikan pusat perlindungan mangsa banjir dan tempat mengagihkan bantuan.
Misi tersebut dianjurkan MyCare dan Pasar Raya Econsave yang bermula 18 hingga 23 Disember ini dalam usaha memberi bantuan kepada mangsa banjir terutama di Sumatera dan Aceh.
Turut hadir Ketua Projek MyCare, Noorsyazli Rameli merangkap Ketua Misi Kemanusiaan Sumatera 2025.
Mengulas lanjut, Mas Imran berkata, struktur Rumah Senyum adalah daripada kayu dan zink dengan kos antara RM2,000 hingga RM3,000 Yan dapat didiami untuk jangka masa panjang.
Rumah Senyum akan dibina dalam masa terdekat selepas penerima dan lokasi dikenal pasti.
Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan boleh melalui MyCare menerusi CIMB Bank Berhad 8602135592.- MalaysiaGazette
















