Lebih 3000 jemaah yang hadir bagi menunaikan solat subuh pada kempen 'Geng Subuh Macam Jumaat' ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 13 JANUARI 2024.

Oleh: Dr. Ridzwan Ahmad

DALAM keghairahan masyarakat hari ini untuk kembali menghidupkan sunnah, muncul satu slogan yang kian mendapat tempat di media sosial: “Kita ikut hadis, jangan ikut mazhab”.

Bunyinya sangat murni dan menginsafkan, siapa yang tidak mahu mengikut Nabi SAW? Namun di sebalik slogan yang nampak segar ini, timbul satu persoalan besar: bagaimana kita boleh terus berpegang kepada Sunnah sedangkan kita tidak pernah bertemu dengan Nabi s.a.w., tidak pernah hidup di zaman Sahabat dan Tabi’in. Justeru, adakah meninggalkan kerangka fiqh mazhab merupakan satu kemajuan ilmu, atau sebenarnya satu ancaman yang bakal mengundang kecelaruan dalam beragama?

Hadis adalah bahan mentah yang belum diproses
Sesetengah pihak terkeliru dengan menyangka bahawa fiqh mazhab adalah pendapat akal semata-mata yang sengaja membelakangkan hadis. Hakikatnya, hubungan antara hadis dan fiqh ibarat hubungan antara “bahan mentah” dan “makanan yang siap dimasak”.

Hadis adalah wahyu yang suci tetapi untuk menukarkannya menjadi hukum yang boleh diamalkan, ia memerlukan “tukang masak” yang pakar iaitu para Imam Mujtahid. Mengambil hadis secara zahir tanpa melalui proses ijtihad para imam ibarat seseorang yang memakan daging mentah hanya kerana mahu mengekalkan “keaslian” sumbernya, sedangkan perbuatan itu boleh membahayakan kesihatan. Fiqh mazhab hadir sebagai hidangan yang telah diproses, disaring dan dipastikan selamat oleh pakar yang bukan sahaja alim malah warak dan bertaqwa.

Sesungguhnya hadis Nabi SAW adalah wahyu yang suci dan sumber utama syariat . Namun hadis bukan hukum yang siap “dimakan” sebagaimana daging mentah walaupun telah disembelih secara halal masih belum boleh dimakan tanpa diproses dan dimasak.

Hadis perlu mengalami proses berikut:
i) difahami konteksnya,
ii) dihimpunkan dengan hadis lain
iii) ditimbang dengan al-Quran
iv) dibandingkan dengan pandangan para Sahabat.
v) dianalisis melalui kaedah usul fiqh
vi) Dinilai ketepatannya dari sudut perubahan zaman dan tempat melalui kaedah maqasid shariah.

Bukan menolak, tetapi menapis
Apabila kita melihat seolah-olah sesuatu mazhab “tidak mengikut hadis”, ia sebenarnya bukan kerana mereka menolak sabda Nabi SAW. Sebaliknya, setiap imam mempunyai “neraca” atau syarat tersendiri dalam menerima atau menolak sesuatu riwayat hadis. Ada yang meletakkan syarat yang amat ketat, ada agak longgar di samping ada yang agak fleksibel.

Sebagai contoh, dalam isu hadis mursal (hadis yang diriwayatkan oleh murid sahabat tanpa menyebut nama sahabat itu sendiri), para imam mempunyai kriteria berbeza: Imam Malik dan Imam Abu Hanifah menerimanya jika perawinya dipercayai. Imam al-Shafi‘i sangat berhati-hati dan meletakkan syarat tambahan yang ketat antaranya termasuklah perlu disokong oleh jalur periwayatan yang lain serta sokongan dari fatwa Sahabat. Imam Ahmad bin Hanbal pula menganggap hadis sebegini lebih baik untuk diamalkan berbanding menggunakan pendapat akal (ijtihad) semata-mata kerana beliau sangat menjauhi ra’yi (akal).

Seterusnya dalam penerimaan hadis ahad mazhab Hanafi tidak beramal dengan hadis ahad yang tidak diamalkan oleh periwayatnya berbeza dengan mazhab Syafie, Hanbali dan Maliki. Sebaliknya bagi Syafie dan Hanbali “hujah adalah pada riwayat bukan perbuatan perawi”. Mazhab Maliki pula lebih utamakan amalan penduduk Madinah. Jika seluruh penduduk Madinah tidak beramal dengan hadis ahad tersebut maka ia ditolak.

Perbezaan teknikal inilah yang melahirkan kepelbagaian hukum, seperti isu bacaan doa qunut dalam solat Subuh yang diamalkan dalam Mazhab Syafi’i dan Maliki tetapi tidak dalam mazhab Hanafi dan Hanbali. Semuanya mempunyai sandaran hadis, cuma neraca timbangannya sahaja yang berbeza mengikut ijtihad para Imam.

Perbezaan ulama hadis dalam isu Qunut Subuh
Isu qunut subuh sering dijadikan contoh tuduhan bidaah oleh sesetengah pihak di Malaysia sedangkan ia adalah isu khilafiyyah.
i) Mazhab qunut (Syafie dan Maliki)
Berdasarkan hadis Anas bin Malik RA: “Rasulullah SAW sentiasa berqunut pada solat subuh sehingga baginda wafat”. Hadis ini dinilai hasan oleh sebahagian ulama dan diperkuat dengan amalan berterusan para sahabat.

Justeru hukum qunut bagi mazhab Syafie adalah sunat ab’ad manakala mazhab Maliki sunat (fadhilah). Maliki melaksanakannya sebelum rukuk berdasarkan amalan penduduk Madinah manakala Syafie melaksanakannya selepas rukuk berdasarkan hadis Anas bin Malik apabila ditanya “adakah Rasulullah s.a.w. membaca doa qunut pada solat subuh?, beliau menjawab: ya, selepas rukuk sekejap”.

ii) Mazhab Tidak Qunut (Hanafi & Hanbali)
Berdasarkan hadis: “Baginda SAW berqunut sebulan kemudian meninggalkannya”. Mazhab ini menilai hadis qunut berterusan sebagai tidak cukup kuat untuk diamalkan secara tetap. Mereka lebih berpegang kepada hadis Nabi hanya melaksanakan qunut subuh pada seketika tertentu.

Sebenarnya kedua-dua golongan beramal dengan hadis, tetapi berbeza dalam penerimaan dan penguatan hadis masing-masing. Ini kerana hukum fiqh itu bermula dengan nas sama ada dari al-Quran ataupun hadis bukan dari pemikiran para mujtahid semata-mata. Kedua-duanya masih menjadikan sumber hadis sebagai asas rujukan hukum namun berbeza dari sudut kaedah penilaian status sesuatu hadis. Ia akhirnya membawa kepada perbezaan hukum di antara dua golongan.

Bagaimana terdapat pihak di Malaysia yang cuba menggunakan akal untuk mengutamakan pandangan golongan kedua. Hujah mereka, jika benar Nabi S.A.W. melaksanakannya sehingga ke akhir hayat maka sudah tentu banyak hadis yang meriwayatkannya, namun sebaliknya.

Hasilnya qunut subuh tidak dilaksanakan dalam solat subuh di tempat mereka walaupun qunut subuh diamalkan secara meluas oleh umat Islam di nusantara. Sebenarnya sedikit periwayatan hadis tidak dijadikan satu kaedah dalam penentuan sesuatu hukum. Walaupun ia hanya satu hadis tetap dijadikan sandaran hukum jika hadis tersebut sahih.

Kesimpulan: Hormati pakar
Meninggalkan mazhab dengan alasan mahu “terus kepada hadis” tanpa mempunyai kelayakan ilmu usul yang mendalam bukannya satu kemajuan. Sebaliknya, ia adalah satu langkah ke belakang yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat. Apabila berlaku pertembungan antara kefahaman kita terhadap hadis secara zahir dengan hukum fiqh mazhab yang telah kukuh dan mapan, utamakanlah fiqh. Ini bukan kerana kita membelakangkan Nabi SAW, tetapi kerana kita sedar
para Imam Mazhab lebih faham tentang maksud sebenar sabda Baginda berbanding kita yang hanya membaca terjemahan hadis di skrin telefon pintar.

Penulis dari Jabatan Fiqh Dan Usul-Sains Gunaan
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast