KUANTAN – Seorang lelaki yang juga seorang tukang gunting rambut yang nekad terjun Jambatan Tanjung Lumpur di sini petang tadi mempunyai rekod kesihatan mental sejak dua tahun lepas.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, hasil soal siasat lanjut dengan isteri mangsa berkaitan kejadian kira-kira pukul 2.39 petang itu.
Menurut Ashari, siasatan awal yang dijalankan mendapati kejadian berlaku di atas jambatan terbabit menghala ke arah Tanjung Lumpur.
“Mangsa telah terjun dari atas jambatan dan berjaya diselamatkan bot pemancing yang kebetulan berada di tempat kejadian dan mangsa telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin.
“Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati mangsa mengalami kecederaan terseliuh di bahu kiri semasa usaha menariknya ke tebing,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memberitahu, sebelum kejadian berlaku, mangsa dan isteri serta lima orang anak mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Pekan selepas bercuti di Cherating.
Katanya, berlaku pertengkaran dengan isteri sewaktu perjalanan itu dan mangsa bertindak memberhentikan kenderaan dan terjun dari atas jambatan sambil cuba dihalang isterinya.
“Temubual lanjut dengan isteri mangsa mendapati mangsa mengalami penyakit mental sudah hampir dua tahun namun gagal mendapatkan rawatan lanjut di hospital.
“Mangsa juga katanya sering dilihat bercakap seorang diri,” jelasnya.
Ashari berkata, mangsa kini dalam keadaan stabil, namun masih berada di Zon Merah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk pemantauan lanjut pihak perubatan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















