PDRM menggempur kegiatan perjudian dalam talian yang beroperasi secara haram melalui pusat panggilan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menggempur kegiatan perjudian dalam talian (onlione) yang beroperasi secara haram melalui pusat panggilan menerusi Op Dadu Mega yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara dari 20 hingga 23 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M Kumar berkata, operasi Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen itu memberi tumpuan khusus terhadap sindiket perjudian dalam talian menggunakan pusat panggilan sebagai modus operandi.

Sebanyak 21 premis telah diperiksa sepanjang operasi berkenaan, dengan 20 daripadanya dikenal pasti berfungsi sebagai pusat panggilan bagi mengurus serta mempromosikan laman web perjudian menyasarkan pelanggan tempatan dan luar negara termasuk Filipina, China dan Australia.

“Satu premis lagi dikenal pasti digunakan sebagai pusat panggilan bagi aktiviti penipuan pelaburan tidak wujud yang menyasarkan pelanggan tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata, hasil serbuan membawa kepada penahanan seramai 85 individu terdiri daripada 62 lelaki dan 23 wanita disyaki berperanan sebagai operator serta kakitangan khidmat pelanggan kegiatan perjudian tersebut.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 47 adalah warga tempatan manakala 38 lagi merupakan warga asing.

“Turut dirampas dalam operasi ini ialah perkakasan komputer, tablet, telefon bimbit serta peralatan lain yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti perjudian dan penipuan berkenaan,” dedah beliau.

M Kumar

Sambung Kumar, kesemua tangkapan telah dibawa ke ibu pejabat polis daerah berkaitan bagi proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

Kertas siasatan dibuka di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 4B(a), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau menjelaskan, peruntukan undang-undang berkenaan melbatkan hukuman denda dan penjara sekiranya disabitkan kesalahan, termasuk tindakan terhadap warga asing yang memasuki atau tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.

Mengulas perkembangan keseluruhan, Kumar berkata, sejak 1 Januari hingga 23 Disember tahun ini, PDRM telah menyerbu sebanyak 117 premis yang dijadikan pusat panggilan bagi aktiviti perjudian di seluruh negara.

“Dalam tempoh tersebut, seramai 713 individu berjaya ditangkap kerana terlibat dalam aktiviti perjudian yang beroperasi secara haram,” katanya lagi.

Dalam pada itu, kata beliau, PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan perjudian tanpa lesen dan penipuan yang melanggar undang-undang.

“PDRM menegaskan operasi seumpama ini akan terus dipergiatkan bagi membanteras aktiviti perjudian tanpa lesen di seluruh negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras kegiatan perjudian dan penipuan yang semakin terancang dan kompleks. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast