JOHOR BAHRU – Pemimpin UMNO perlu berhenti mengeluarkan kenyataan mengugut mahu keluar daripada kerajaan Perpaduan sekiranya masih belum cukup berani untuk berbuat demikian.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, tindakan tersebut hanya menggugat keharmonian dalam kerajaan Perpaduan.
Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulai itu berkata, desakan terbaharu berkenaan tindakan itu dilakukan dalam sidang akhbar veretan UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang diadakan petang tadi.
“YB, nampak bersungguh betul nak keluar Kerajaan Perpaduan. Hampir setiap hari buat kenyataan ‘dah tiba masanya’. Tapi sampai sekarang tak kunjung tiba.
“Kalau belum cukup berani, tak usah keluar kenyataan demi kenyataan yang boleh gugat keharmonian Kerajaan Perpaduan.
“Sebab kerajaan hari ini sedang fokus melaksanakan dasar dan polisi yang banyak beri manfaat kepada rakyat. Takkan YB tergamak melihat perjuangan murni kerajaan perpaduan ini diganggu,” soalnya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, pihaknya melihat hanya Tengku Razaleigh dan beberapa pemimpin UMNO yang menyokong desakan untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
“Kebanyakan kita lihat pemimpin UMNO diam atau sependapat dengan YB Datuk Seri Dr Ahmad Maslan yang dengan terbuka menyatakan adalah satu kerugian jika UMNO jadi pembangkang. Sudah-sudahlah YB. Jom kita fokus bantu rakyat,” katanya.
Tengku Razaleigh dalam sidang akhbar itu dilaporkan berkata, UMNO sepatutnya memikirkan semula kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya beranggapan apa yang berlaku dalam kes titah adendum melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah serius bertentangan dengan perjuangan parti itu dalam mempertahankan kedaulatan Raja-Raja.
Katanya, para pemimpin UMNO juga perlu menyerahkan kuasa atau jawatan yang disandang mereka di dalam kerajaan Perpaduan atas alasan yang sama.
Jelasnya, ia bagi memastikan UMNO kembali mempunyai kuasa dan pengaruh dalam politik negara dan tidak lagi bergantung kepada mana-mana parti politik lain.- MalaysiaGazette
Selain Tengku Razaleigh, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh turut membuat desakan yang sama.- MalaysiaGazette
















