Murad dan Suria mengagihkan air yogurt percuma kepada orang ramai di Kuil Dewa Sivasakthi Shree Sinnakaruppar Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, hari ini.

PASIR GUDANG – Semua pihak perlu menghormati mandat Kerajaan Perpaduan yang masih ada dua tahun lagi dan tidak perlu membuat ugutan untuk menarik sokongan hanya kerana kemahuan sekelompok kecil tidak dipenuhi.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pasir Gudang, Murad Jailani berkata, parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan perlu mengutamakan kepentingan rakyat dan tidak mengganggu kestabilan politik.

“Hanya tinggal dua tahun lagi untuk tempoh pilihan raya umum diadakan semula. Jadi habiskan dulu penggal yang ada dan tumpu kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Program Edaran Air Yogurt Percuma di Kuil Dewa Sivasakthi Shree Sinnakaruppar Bandar Seri Alam di sini hari ini.

Semalam veretan UMNO, Tengku Razaleigh HamzahTengku Razaleigh dalam sidang akhbar dilaporkan berkata, UMNO sepatutnya memikirkan semula kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya beranggapan apa yang berlaku dalam kes titah adendum melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah serius bertentangan dengan perjuangan parti itu dalam mempertahankan kedaulatan raja-raja.

Katanya, para pemimpin UMNO juga perlu menyerahkan kuasa atau jawatan yang disandang mereka di dalam kerajaan Perpaduan atas alasan yang sama.

Selain Tengku Razaleigh, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh turut membuat desakan yang sama.

Mengulas lanjut, Murad berkata, gesaan Akmal itu adalah tidak wajar dan sepatutnya Exco kerajaan Melaka itu menghormati Presiden UMNO dan pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan sebelum mengeluarkan kenyataan, bukan dengan mengikut emosi.

Pada masa sama katanya, wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) perlu menghormati dan menjaga sensitiviti rakan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).

Tindakan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang memuat naik kenyataan menyindir dan provokasi berkenaan kes Datuk Seri Najib Razak berkenaan Titah Adendum, adalah tidak wajar sama sekali.

“Kita kena sedar kita ini masih dalam Kerajaan Perpaduan, jadi hormati sesama parti komponen. Hormati semua pihak termasuk UMNO,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pasir Gudang, Suria Vangadesh meminta kerajaan negeri mempercepat kerja-kerja menaik taraf Lebuhraya Pasir Gudang untuk keselamatan dan keselasaan.

Beliau yang juga Exco AMK Pusat berkata, kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan peruntukan untuk membaiki lebuh raya tersebut tetapi masih ‘tersekat’ di peringkat negeri dan perkembangan proses tersebut amat perlahan.

Dalam pada itu, ditanya tentang masalah masyarakat India di sini, beliau bersyukur kerana semuanya sudah berjaya diselesaikan termasuk isu kuil berkenaan.

“Kuil Dewa Sivasakthi Shree Sinnakaruppar baru sahaja selesai dinaik taraf dengan kos RM25,000 enam bulan lalu, terima kasih kepada Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang membantu.

“Sementara pada program hari ini, AMK Pasir Gudang menyumbangkan air yogurt dan 10 balang air ribena untuk 3,000 orang buat pertama kali bagi upacara tahunan kali ini,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast