BUTTERWORTH – Pemuda yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes ibu kandung dan adik angkatnya yang maut dalam kebakaran di kediaman sewa di Taman Rathna di sini, pada 10 Disember lalu akan didakwa di Mahkamah Butterworth esok.
Suspek berusia 23 tahun itu berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail ketika dihubungi mengesahkan suspek akan didakwa esok.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette semalam melaporkan Azizee memaklumkan kertas siasatan yang lengkap berhubung kes itu telah diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Negeri (PPN)
“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek juga berdepan pendakwaan dalam masa terdekat,” katanya.
Polis sebelum ini mengklasifikasikan kematian dua mangsa terbabit sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan forensik kebakaran daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang.
Selain itu, jenazah mangsa, Hayani Yaakob, berusia lingkungan 50-an, serta anak angkat perempuannya masih belum dapat dituntut dan dikebumikan kerana perlu menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Dalam kejadian jam 9.45 pagi pada 10 Disember lalu mayat kedua-dua mangsa ditemui rentung dalam keadaan bersebelahan pada jarak kira-kira satu meter di ruang tamu berhampiran pintu keluar utama rumah berkenaan.
Anak lelaki wanita tersebut pula, selamat di bahagian pintu dapur dan mengalami kecederaan selepas dihempap bumbung kediaman itu. – MalaysiaGazette
















