JOHOR BAHRU – Gabungan semua parti politik Melayu dalam sesebuah kerajaan bukan jaminan kestabilan politik dan buktinya boleh dilihat menerusi kemelut yang berlaku di Perlis ketika ini.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Fakharuddin Moslim berkata, negeri tersebut ditadbir Perikatan Nasional (PN) yang semuanya parti politik Melayu dan Islam iaitu Pas serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Negeri PN tadbir yang dalamnya tiada Cina, takda DAP, takda Datuk Seri Anwar Ibrahim, tapi PN bergasak sesama sendiri.
“Gabungan PN ini bukanlah gabungan yang stabil seperti dilaungkan mereka dan ini juga bukti, gabungan Melayu sesama Melayu tak menjanjikan kestabilan dan keharmonian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau yang juga Ketua PKR Cabang Tenggara hairan apabila mereka sama mereka berkelahi hingga meruntuhkan kerajaan sendiri dalam keadaan hanya ada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, pada Pilihan Raya Umum ke-15, daripada 15 kerusi DUN yang dipertandingkan PN menang 14 kerusi dan hanya satu kerusi dimenangi Pakaran Harapan (PH).
“14 kerusi ini cukup kuat bagi bentuk kerajaan yang kukuh dan stabil bagi kerajaan PN Perlis. Dan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN Perlis ini kesemuanya Melayu dan Islam,” ujarnya.
Perkembangan terkini di Perlis menyampaikan setelah Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan membuat kenyataan untuk memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya diadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi tiga kawasan DUN di negeri itu.
Ini berikutan kekosongan luar jangka akibat kemelut politik dalaman PN yang menjejaskan majoriti kerajaan negeri dan Menteri Besarnya meletak jawatan.
Kekosongan itu membabitkan DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji selepas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Binting) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) terhenti serta-merta keahlian mereka dalam Pas bermula kelmarin.- MalaysiaGazette
















