BUTTERWORTH – Mayat dua beranak yang rentung dalam kebakaran di Taman Telok Air Tawar di sini, pada 10 Disember lalu masih ditempatkan di Unit Forensik Hospital Kepala Batas (HKB).
Bekas suami mangsa, Kamalrolzlan Muhammad, 57, berkata, mayat masih belum boleh dituntut kerana masih menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi tujuan pengesahan rasmi.
“Mayat masih belum boleh dituntut dan dijangka dalam tempoh tiga bulan,” katanya ketika ditemui di mahkamah hari ini.
Terdahulu, anak lelaki mangsa rentung itu yang sebelum ini cedera dalam kebakaran sama didakwa atas dua pertuduhan bunuh di Mahkamah Majistret Butterworth hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette difahamkan kedua-dua mangsa dibunuh menggunakan senjata pisau pada awal pagi sehari sebelum kebakaran tersebut.
Difahamkan, motif pembunuhan tersebut dipercayai berkait dengan masalah hutang selain tekanan yang diterima suspek daripada ibunya, iaitu mangsa rentung berkenaan.
Media pada 10 Disember lalu melaporkan dua mangsa ditemui rentung manakala seorang lagi cedera dalam kebakaran di sebuah rumah di Taman Rathna, Teluk Air Tawar di sini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah, sebelum ini dilaporkan berkata, terdapat tiga mangsa yang terperangkap dalam kebakaran berkenaan dengan seorang daripadanya berjaya diselamatkan, manakala dua lagi meninggal dunia.
“Kedua-dua mangsa ditemui rentung dan terperangkap di ruang tamu berhampiran pintu keluar utama rumah.
“Seorang lagi mangsa ditemui dalam keadaan cedera akibat dihempap bumbung di bahagian dapur,” katanya. – MalaysiaGazette
















