KUALA LUMPUR – Pas mengemukakan dua nama calon Menteri Besar kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, susulan peletakan jawatan Mohd Shukri Ramli, semalam.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, pencalonan itu dibuat selepas mengambil kira kedudukan parti berkenaan yang masih memiliki majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding rakan komponennya dalam Perikatan Nasional (PN).
“Kita masih mempunyai enam kerusi dan Bersatu hanya ada lima kerusi. Jadi kita layak mengemukakan calon Menteri Besar,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook, hari ini.
Menurut Abdul Hadi, dua nama berkenaan dikemukakan bagi pertimbangan Raja Perlis sebagai calon paling sesuai untuk menerajui pentadbiran negeri dalam keadaan politik semasa yang tidak menentu.
Terdahulu Bersatu telah mengemukakan tiga nama calon Menteri Besar iaitu ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah; Megat Hashirat Hassan (Pauh); dan Izizam Ibrahim (Titi Tinggi).
Semalam, Mohd Shukri mengumumkan peletakan jawatannya atas masalah kesihatan.
Keputusan itu juga menambah kemelut politik di Perlis selepas lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menandatangani Akaun Berkanun (SD) mengisytiharkan untuk menarik sokongan, sekali gus menjejaskan keyakinan terhadap kepimpinan beliau sebagai Menteri Besar.
Tiga daripada lapan ADUN berkenaan adalah wakil rakyat Pas menyebabkan parti itu mengambil tindakan tegas dengan menghentikan keahlian mereka yang terlibat.
Langkah tersebut menyebabkan kerusi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji terpaksa dikosongkan dan notis kekosongan luar jangka itu akan dihantar ke Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan. -MalaysiaGazette
















