PUTRAJAYA – Pasukan pembelaan berhujah, Datuk Seri Najib Razak tidak mendapat keuntungan peribadi hasil keputusan yang dicapai berkaitan tadbir urus dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika berjawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah, tiada bukti Najib menerima, meminta atau mengharapkan apa-apa faedah peribadi daripada keputusan yang dipertikaikan.
Hujah beliau, kelulusan dibuat dalam melaksanakan
kepentingan kerajaan dan Kementerian Kewangan, manakala sebarang dana yang kemudiannya diseleweng, dilencongkan tanpa pengetahuan anak guamnya.
Selain itu, hujahnya, Najib secara sukarela telah memulangkan AS$620 juta iaitu hampir keseluruhan daripada jumlah dana AS$681 juta yang diterimanya.
“Ini menunjukkan beliau tiada motif untuk mengaut keuntungan dan menyokong niat baik (bona fide) beliau dalam kesahihan transaksi yang dilakukan.
“Kes ini tidak mempunyai ciri rasuah teras yang biasanya mewajarkan hukuman berat diberikan kepada anak guam,” kata peguam ketika menyampaikan hujah meringankan hukuman.
Muhammad Shafee selanjutnya menyatakan, tiada bukti Najib mengalihkan dana untuk kemewahan peribadi atau mengaut kekayaan secara rahsia.
Hujah beliau , sebahagian besar dana yang berkaitan telah digunakan untuk aktiviti politik, sosial dan kebajikan di bawah rangka kerja Barisan Nasional.
“Perbelanjaan peribadi secara terhad adalah berkaitan tugas rasmi dan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri ketika itu,” hujah beliau.
Peguam seterusnya memohon mempertimbang keadaan kesihatan Najib yang mana prosiding terpaksa ditangguhkan kerana keadaan akut termasuk episod hipertensi teruk yang memerlukan kemasukan ke hospital.
“Tertuduh juga telah dirawat kerana keradangan akut pada lutut dan memerlukan cuti perubatan selepas pembedahan mata,” hujahnya.
Menurut peguam bela, faktor perubatan yang berterusan memberi kesan kepada anak guamnya untuk menjalani hukuman pemenjaraan lebih panjang yang membebankan, berbanding banduan sihat.
Beliau turut memohon mahkamah mempertimbang bahawa bekas Perdana Menteri telah memberikan kerjasama selama bertahun-tahun merentasi pelbagai penyiasatan dalam keadaan penelitian awam yang dilakukan secara luar biasa.
Selain itu, pasukan pembelaan menghujahkan, Najib kesal terhadap peristiwa yang berlaku seperti yang dinyatakan melalui surat terbuka bertarikh 24 Oktober 2024 yang dipanjangkan melalui anaknya Datuk Mohd. Nizar pada satu sidang media.
“Ia sesuatu yang menyakitkan setiap hari bahawa bencana 1MDB berlaku di bawah pengawasan saya sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri.
“Saya ingin memohon maaf tanpa syarat kepada rakyat Malaysia. Permohonan maaf ini dibuat secara sukarela dan mencerminkan penyesalan yang ikhlas dan akauntabiliti moral,” ujar Muhammad Shafee ketika merujuk kepada surat itu.
Pada akhir hujahannya, beliau memohon hukuman penjara berkuatkuasa serentak dengan pemenjaraan bagi kes SRC International yang sedang dijalaninya. – MalaysiaGazette
















