Aireroshairi Roslan

KUANTAN – Pas Pahang menyokong sepenuhnya keputusan Pas Pusat memberhentikan keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis yang melanggar disiplin parti.

Ketua Penerangan Pas Pahang, Aireroshairi Roslan berkata, tindakan itu membuktikan parti tersebut meletakkan prinsip dan integriti mengatasi kepentingan politik jangka pendek.

“Walaupun berrisiko kepada kerajaan negeri, Pas tidak berkompromi dalam soal disiplin jemaah.

“Kami merakamkan tahniah kepada kepimpinan Pas Pusat atas ketegasan mengambil tindakan disiplin berdasarkan Fasal 76(9) dan 15A(1)(b) Perlembagaan Pas.

“Ini membuktikan parti kita mengutamakan ketelusan dan akauntabiliti—tidak ada kompromi untuk sesiapa yang melanggar arahan parti. Inilah integriti sebenar yang rakyat mahukan,” katanya dalam kenyataan.

Sumber : Facebook Pas Pahang

Aireroshairi dalam masa sama turut menyarankan rakan parti komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu agar mengambil tindakan sama terhadap ADUN mereka di Perlis.

Katanya, tindakan itu dibuat bukan mengambil kira soal disiplin parti semata-mata, tetapi menghormati rakan gabungan dan memastikan keutuhan PN kekal terpelihara.

“Pas Pahang menyeru ahli dan penyokong kekal tenang, berdisiplin dan tidak terpengaruh provokasi lawan. Ini ujian kepada keteguhan jemaah dan kesetiaan penyokong.

“Apa yang berlaku di Perlis adalah riak kecil dalam perjuangan panjang. Selagi kita berpegang kepada prinsip dan bersatu padu, tiada yang boleh meruntuhkan Pas,” tambahnya lagi.

Semalam, Pas memutuskan keahlian tiga ADUN di Perlis daripada parti itu terhenti serta-merta susulan tindakan mereka menandatangani akuan bersumpah (SD) yang didakwa menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri.

Tiga ADUN terbabit ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Keputusan dibuat menerusi Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang di Pejabat Presiden Pas di Rusila, Marang, Terengganu pada Rabu lepas.

Difahamkan, selain tiga ADUN daripada Pas, lima lagi ADUN daripada Bersatu turut menandatangai SD terbabit yang didakwa telah diserahkan kepada pihak Istana Perlis pada Jumaat lepas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast