Datuk Seri Shahidan Kassim.- Foto AFFAN FAUZI, 19 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Shahidan Kassim dilihat antara calon utama yang akan bertanding sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan susulan kekosongan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis, kata penganalisis politik, Datuk Dr Ismail Salleh.

Tambah beliau, sekiranya pilihan raya diadakan, Shahidan yang merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis mempunyai peluang cerah untuk kembali memimpin negeri tersebut.

Ia sekali gus bakal menamatkan kemelut politik yang sedang menghimpit negeri terkecil yang terletak di utara semenanjung itu.

“Sudah tentu di antara calon-calonnya adalah Datuk Seri Shahidan Kassim. Beliau adalah Pengerusi PN Negeri Perlis, Timbalan Pesuruhjaya Pas 3 selain Ahli Jawatankuasa Pas Pusat,” katanya.

Dr Ismail berkata demikian mengulas perkembangan terkini di Perlis setelah Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan membuat kenyataan untuk memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya diadakan PRK bagi tiga kawasan DUN di negeri itu.

Ia berikutan kekosongan luar jangka akibat kemelut politik dalaman Perikatan Nasional (PN) yang menjejaskan majoriti kerajaan negeri.

Kekosongan itu membabitkan DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji selepas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Binting) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) terhenti serta-merta keahlian mereka dalam PAS bermula kelmarin.

Mengulas lanjut, Dr Ismail berpendapat, wujud tekanan dalam gabungan PN sendiri khususnya selepas melihat hubungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang semakin hari semakin renggang.

Beliau menjangkakan, Pas di peringkat pusat akan terus memberi tekanan kepada  Bersatu untuk turut memberhentikan lima ADUN mereka di Perlis bagi membolehkan DUN terbubar dan seterusnya membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Untuk rekod, Shahidan adalah Menteri Besar Perlis ketujuh dengan memegang jawatan itu antara 1995 sehingga 2008 di zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast