KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari hari ini berkongsi hantaran di dalam media sosial Facebook beliau yang mengundang tanda tanya dan pelbagai reaksi daripada pengikutnya.
Dalam satu hantaran ringkas, Ahli Parlimen Pasir Mas itu menulis: “Kawan makan kawan. Bermaksud kawan sudah memilih menjadi lawan.”
Catatan itu dikongsikan tidak lama selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis baharu hari ini.
Abu Bakar yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis merangkap Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu diperkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sebagai Menteri Besar Perlis bagi menggantikan Mohd Shukri Ramli yang sebelum ini meletak jawatan.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/12/28/abu-bakar-dilantik-mb-perlis-yang-baharu/
Terdahulu, politik Perlis dilanda gelora selepas lapan ADUN masing-masing tiga daripada Pas dan lima Bersatu dikatakan menandatangani akuan bersumpah (SD) menarik balik sokongan terhadap Mohd Shukri.
Rentetan itu, Pas mengambil tindakan tegas dengan memberhentikan serta-merta keahlian tiga ADUN parti itu, yang kini membuka kepada kemungkinan berlakunya pilihan raya kecil (PRK).
Media sebelum ini turut melaporkan hasrat Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man supaya parti itu terus diberi kepercayaan untuk menerajui Kerajaan Negeri Perlis susulan peletakan jawatan Mohd Shukri.
Pelantikan Abu Bakar hari ini turut menyaksikan beliau menjadi Menteri Besar pertama daripada Bersatu bagi Perlis.
DUN Perlis ketika ini terdiri daripada enam wakil rakyat Pas; Bersatu (5) dan seorang Pakatan Harapan (PH) dengan tiga kerusi DUN diisytihar kosong susulan keputusan Pas menamatkan keahlian tiga ahli mereka.
Kerusi DUN yang diisytihar kosong itu masing-masing Chuping; Bintong dan Guar Sanji. – MalaysiaGazette
















