KUALA LUMPUR – Gesaan supaya Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula yang kembali dibangkitkan kebelakangan ini bukan satu isu yang besar kepada Pakatan Harapan (PH).
Sebaliknya, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bera, Norman Daud berkata, beliau yakin Kerajaan Madani akan kekal memerintah melalui sokongan parti-parti lain.
Dalam masa sama, menurutnya, menghidupkan semula MN juga akan mengurangkan isu mengenai pembahagian kerusi Parlimen dalam kalangan PH pada pilihan raya umum (PRU) akan datang yang hanya akan ditandingi parti asal PH seperti PKR; Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.
“Takkan ada pertindihan merebut kerusi Parlimen dan tiada kompromi yang menyakitkan kepala (pada PRU-16),” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.
Sementara itu, Norman berkata, sekiranya MN dihidupkan semula menerusi kerjasama UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), persoalan asas akan tetap timbul khususnya parti mana yang akan menjadi `Abang Long’ (ketua).
Selain itu, tambahnya, isu seperti parti mana yang mendapat paling banyak kerusi juga akan timbul selain kedudukan antara ketiga-tiga parti untuk menjadi lebih dominan.
“Realitinya, Pas dan Bersatu bukan parti yang terkenal dengan sifat beralah.
“Lihat sahaja apa yang berlaku di Perlis, sesama mereka pun mereka boleh tebuk menebuk atap sendiri.
“Jadi ruang untuk UMNO bertanding banyak kerusi bukan sesuatu yang boleh dianggap automatik. Itu akan menjadi rundingan yang keras antara sesama mereka,” katanya.
Tambah Norman, bagi PH, apa yang lebih penting ketika ini adalah Kerajaan Madani perlu terus bergerak ke hadapan dan parti-parti yang kekal dalam kerajaan perlu berusaha “memberikan yang terbaik untuk negara.
Tempoh penggal ini pun dah singkat, saya yakin parti parti lain dalam kerajaan akan mengutamakan kepentingan negara dan rakyat, dan tidak akan mengheret negara ke satu lagi episod politik yang merugikan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















