KDNK Terengganu
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – “Muafakat Nasional (MN) sudah jadi sejarah. Ia telah dimatikan tanpa nisan dan tak perlu dihidupkan. Biarkan terus menjadi hantu.

Demikian kata Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO (MUU), Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali mengulas cadangan supaya MN dihidupkan semula susulan polemik politik di Perlis, baru-baru ini.

Tambahnya, usaha menyatukan Melayu Islam sepatutnya merangkumi semua parti politik agama itu dalam negara ini iaitu UMNO, Pas, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah).

“Lagipun ada yang telah “hijack” nama tu dengan didaftarkan sebagai NGO ketika masing-masing sedang sibuk bincang untuk didaftarkan ke tidak MN sebagai gabungan politik dulu.

“Kalau nak satukan semua Melayu Islam rundingkan antara semua parti orang Islam UMNO, Pas, PKR dan Amanah. Baru Islam Melayu kuat. Orang lain akan ikut dan turut sahaja ibarat Air Mutlak yang boleh meneutralkan Air Mutanajjis.

“Untuk mencari dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah mudah sekali. Pas boleh datangkan dalil. Saya pun boleh bantu bagi dalil.

Bagilah apa-apa nama baru seperti Perpaduan Rakyat Nasional (PRN) gabungan antara sebahagian PH (Pakatan Harapan), BN (Barisan Nasional) dan PN (Perikatan Nasional),” kata bekas pemimpin Pas itu menerusi kenyataan.

Cadangan supaya MN dihidupkan semula disuarakan terlebih dahulu oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Dalam masa yang sama, Pas turut meminta ahli dan penyokong UMNO supaya menghidupkan semula semangat muafakat berkenaan sebagai asas perpaduan ummah menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerjasama antara kedua-dua parti penting bagi menjamin kestabilan politik negara khususnya di peringkat akar umbi.

Sebagai rekod, polemik politik di Perlis tercetus apabila lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing tiga daripada Pas dan lima daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikatakan menandatangani akuan bersumpah (SD) menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Shukri seterusnya meletakkan jawatan pada Khamis atas alasan kesihatan.

Kemudian hari ini dilaporkan, Adun Kuala Perlis Abu Bakar Hamzah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis ke-12, menggantikan Shukri.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast