Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin

KUALA LUMPUR – Atlet sukan lasak negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menyifatkan tiada keperluan untuk membina kompleks sukan baharu di Sungai Petani, Kedah seperti dicadangkan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Beliau yang juga Penjelajah Grand Slam berkata, tumpuan tidak seharusnya diberikan bagi membina infrastruktur baharu ketika negara berdepan kekangan kewangan serta prestasi sukan berprestasi tinggi yang belum mencapai sasaran peringkat antarabangsa.

Sebaliknya, tambah beliau, fokus seharusnya diberikan kepada pembangunan atlet secara langsung dan berimpak tinggi khususnya  dalam kalangan atlet yang akan bertanding pada Sukan Olimpik dan Sukan Komanwel.

Jelasnya, tumpuan itu termasuk daripada segi program latihan intensif dan pendedahan antarabangsa, kem latihan luar negara serta akses kepada jurulatih bertaraf dunia dan kebajikan atlet termasuk elaun, insurans, pendidikan serta jaminan kerjaya selepas persaraan.

“Berdasarkan pengalaman saya di peringkat antarabangsa, kejayaan sukan tidak lahir daripada bangunan semata-mata, tetapi melalui pelaburan berterusan terhadap atlet, program dan sistem sokongan yang menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Dr Mohammed Taufiq berkata, sebuah kompleks sukan bernilai RM10 juta akan dibina di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah bagi menyediakan kemudahan sukan lebih sistematik dan holistik kepada golongan belia.

Menurut beliau, projek itu kini berada pada peringkat awal pelaksanaan dan dijangka akan dimulakan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Muhamad Muqharabbin berkata, ketika ini banyak fasiliti sukan sedia ada di seluruh negara masih belum dimanfaatkan secara optimum.

Sehubungan itu penambahbaikan dan pengurusan fasiliti sedia ada adalah jauh lebih menjimatkan serta memberi kesan segera berbanding pembinaan kompleks baharu.

“Saya menggesa KBS menilai semula keutamaan perbelanjaan negara dan mengutamakan pelaburan terus kepada atlet serta program prestasi tinggi yang terbukti memberi pulangan kepada negara.

“Pembangunan atlet adalah teras kejayaan sukan negara — bukan pembinaan bangunan semata-mata,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast