Kerja-kerja pembinan Kompleks Mahkamah Johor Baharu yang baharu di Iskandar Puteri kini sudah siap 85 peratus.

ISKANDAR PUTERI – Kerja-kerja pembinan Kompleks Mahkamah Johor Baharu yang baharu di bandar raya ini kini sudah siap 85 peratus dan dijadual siap menjelang akhir suku pertama 2026.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, bangunan yang terletak bersebelahan Masjid Kota Iskandar ini dimulakan pembinaannya pada 8 Februari 2023 dengan kos RM195.4 juta dan berkeluasan 6.8 hektar.

“Kompleks Mahkamah ini terdiri daripada tiga komponen penting yang memiliki bilangan tingkat yang berbeza iaitu dewan serbaguna (setingkat), blok A kompleks mahkamah (lima tingkat) dan blok B kompleks mahkamah (tiga tingkat).

“Keseluruhan kompleks ini dilengkapi dengan 24 unit bilik bicara, pejabat pentadbiran, surau, tadika serta kafeteria.

“Selain itu, kompleks mahkamah ini juga turut dilengkapi sebanyak 389 lot tempat meletak kereta dan 171 lot tempat meletak motosikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Fazli, ketika ini pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang memantau rapat kerja-kerja di tapak yang sedang dilaksanakan oleh pihak kontraktor agar dapat disiapkan mengikut jadual pada tahun depan.

Pada 7 Januari 2023, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata, Mahkamah tersebut yang sebelum ini tergendala pembinaannya sejak lima tahun lalu ketika itu dijangka akan diteruskan pembinaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast