KUALA LUMPUR – Para mufti sepatutnya diberi ruang untuk berbicara kerana telah diberi peranan untuk menasihati.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil Noor berkata, para mufti sentiasa menjadi sasaran hentaman apabila memberi nasihat.
Sedangkan, menurut beliau, mufti tidak mempunyai sebarang kepentingan untuk berebut jawatan atau bertanding pada mana-mana pilihan raya.
“Dalam jiwa kami adalah untuk melihat negara ini aman dan makmur berteraskan Syariah dan Maqasid Syariah. Berilah mufti-mufti hak bersuara sedikit,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menerusi hantaran sama, Ahmad Fauwaz turut berkongsi hantaran terkini media sosial Facebook Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkenaan saranan supaya mufti hanya bercakap soal agama, jangan bercakap hal politik.
Mohd. Asri atau lebih dikenali sebagai Dr. Maza kini menjadi perhatian susulan kenyataan beliau yang menyentuh mengenai konflik politik di Perlis, termasuk berkenaan sumpah baiah yang dilafazkan pemimpin Pas. – MalaysiaGazette
















