Tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh.

BUTTERWORTH – Seorang buruh warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol tanpa permit yang sah.

Tertuduh, Aung Soe, 39, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Melayu dihadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Revolver 0.38 tanpa permit atau lesen yang sah di sebuah bengkel kontena di Lorong Perusahaan Baru, Perai, jam 12.10 tengah malam pada 21 Disember lalu.

Bagi kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata api (penalti lebih berat) 1971 yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang 14 tahun dan sekurang-kurangnya enam sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh diwakili peguam, Hussaini Abdul Rashid.

Ketika prosiding, tiada jaminan ditawarkan Siti Nur Amalina atas faktor pertuduhan tersebut merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Mahkamah kemudian memutuskan tiada jaminan dibenarkan terhadap tertuduh dan menetapkan 6 Februari depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Sementara itu, tertuduh serta rakan senegaranya yang berdepan tiga lagi pertuduhan melibatkan kesalahan dadah, imigresen dan senjata api di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam ditangguhkan pada 23 Februari untuk lantikan jurubahasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast