Jalex Lee

JOHOR BAHRU – Malaysia memerlukan politik berteraskan mandat rakyat, prinsip demokrasi dan kejujuran, bukannya percaturan kuasa yang sempit.

Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Jalex Lee En Xiang berkata, percaturan kuasa yang tidak berpaksikan rakyat akhirnya membawa kemudaratan kepada negara keseluruhannya.

Menurutnya, negara ketika ini sedang menyaksikan kemelut politik baharu di Perlis disusuli pergolakan dalam Perikatan Nasional (PN) apabila beberapa pemimpin tertingginya meletak jawatan.

“Pagi ini, kita menyaksikan beberapa pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dalam PN.

“Perkembangan ini sebenarnya tidak mengejutkan, sekiranya kita menilai kembali latar belakang penubuhan dan perjalanan parti tersebut.

“Bersatu ditubuhkan pada 2018 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, sebelum diperluaskan pengaruhnya pada 2020 bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kemudian membentuk kerajaan melalui peristiwa yang dikenali sebagai ‘pintu belakang’,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, rakyat tidak dapat melupakan episod hitam dalam sejarah demokrasi negara iaitu peristiwa Sheraton Move pada 2020.

Katanya, ketika itu sebahagian ahli Parlimen telah mengkhianati mandat rakyat dengan memanipulasi kedudukan dan undi mereka bagi menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara sah, seterusnya menubuhkan kerajaan tanpa mandat rakyat.

Dakwanya, corak politik yang sama juga dapat dilihat dalam perkembangan mutakhir di Perlis iaitu kerajaan negeri yang wujud hari ini turut terbentuk melalui kaedah ‘pintu belakang’.

Implikasi daripada amalan politik sebegini amat besar dan merugikan negara, katanya.

“Malaysia telah berdepan ketidaktentuan politik yang berpanjangan, sehingga menghakis keyakinan rakyat, pelabur dan komuniti antarabangsa.

“Dalam keadaan negara yang sedang berusaha melaksanakan reformasi institusi serta memulihkan dan memacu pertumbuhan ekonomi, kestabilan politik dan pentadbiran yang berintegriti merupakan prasyarat yang tidak boleh dikompromikan,” katanya.

Muhyiddin awal hari ini membuat keputusan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN Pusat berkuat kuasa 1 Januari ini, susulan kemelut politik di Perlis.

Ketika ini, lapan negeri menyaksikan lantikan Pengerusi PN daripada Bersatu, dengan empat pemimpin PN negeri sudah mengunumkan melepaskan jawatan manakala empat lagi dijangka membuat pengumuman melepaskan jawatan masing-masing pada bila-bila masa.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast