KUALA LUMPUR – Negara kehilangan pakar bidang ekonomi dan akademik apabila tokoh tersohor kelahiran Sarawak, Datuk Dr Madeline Berma dilaporkan meninggal dunia hari ini.

Mendiang yang berusia 64 tahun menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Bandar Baru Bangi, Selangor, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Berita duka itu turut dikongsi rakan akrab mendiang yang juga tokoh pendidikan, Dr Anuar Ahmad menerusi hantaran di Facebooknya.

“Dato’ Dr. Madeline antara penyokong kuat saya dalam aktiviti advokasi ilmu di media. Beliau sering memberi idea dan dorongan.

“Pagi ini saya menerima berita sedih pemergian beliau. Saya kehilangan seorang sahabat yang begitu memahami pentingnya perkongsian ilmu untuk membangunkan masyarakat,” tulisnya.

Dr. Madeline merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana di University of Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat dan seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari University of Hull, England pada 1997.

Sepanjang kerjayanya, mendiang pernah berkhidmat sebagai Profesor Madya di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM sehingga 2018 serta memegang jawatan Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (2011-2016).

Ketokohan beliau dalam memperjuangkan hak asasi manusia turut diiktiraf apabila dilantik sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia pada tahun 2019.

Wajah dan suara mendiang sering menghiasi media, khususnya di MalaysiaGazette sebagai penganalisis bagi mengupas isu-isu ekonomi dan pembangunan sosial terutamanya melibatkan negeri  Sarawak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast