Ketua AMK Johor
Faezuddin Mohd Puad

JOHOR BAHRU – Krisis kepimpinan dan ketidaktentuan hala tuju yang melanda Perikatan Nasional (PN) di peringkat Pusat sekarang ini kini didakwa turut menular ke peringkat negeri,. khususnya di Johor.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, ini susulan peletakan jawatan Datuk Dr Sahruddin Jamal sebagai Pengerusi PN Johor yang mengikut langkah Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN.

“Peletakan jawatan Dr Sahruddin seorang figura politik yang pernah memegang jawatan Menteri Besar Johor mencerminkan rapuhnya kepercayaan sesama komponen PN dan kegagalan menyatukan agenda parti untuk menyelesaikan isu rakyat.

“Rakyat Johor memerlukan kepimpinan yang stabil dan fokus kepada agenda sebenar seperti pemulihan ekonomi, kos sara hidup dan peluang pekerjaan, terutama bagi generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu Dr Sahruddin yang juga Pengerusi Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor mengumumkan peletakan jawatan itu dalam Facebook miliknya hari ini.

Menurut bekas Menteri Besar Johor itu, PN Johor tiada masalah, tiada pergolakan dan hubungan sangat bagus malah baru mesyuarat dua minggu lepas.

“Peletakan jawatan ini tiada kena mengena dengan Johor. Saya mudah sahaja, bila pimpinan Pusat letakkan jawatan, (dan) saya dilantik oleh Tan Sri (Muhyiddin). Bila beliau letak jawatan, saya pun letak (jawatan PN Johor),” ujar Dr Sahruddin.

Mengulas lanjut, Faezuddin berkata, politik berulang konflik dan percaturan kuasa seperti yang berlaku dalam PN hanya menambah ketidaktentuan dan mengalih perhatian daripada keperluan rakyat.

AMK Johor menegaskan bahawa kestabilan politik adalah syarat asas yang sangat penting bagi memastikan Johor terus bergerak sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara.

Jelasnya, ini termasuk memanfaatkan peluang strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dan agenda pembangunan belia.

Faezuddin berkata, Johor memerlukan kepimpinan yang fokus bekerja, bukan kepimpinan yang sentiasa bergolak.

“AMK Johor menegaskan bahawa krisis dalaman PN ini memperkukuh keyakinan bahawa hanya kepimpinan yang berprinsip dan bersatu sepertimana dibawa oleh Kerajaan Madani mampu membawa kestabilan dan pembangunan sebenar untuk negeri dan negara,” katanya.

Pihaknya juga percaya rakyat Johor khususnya generasi muda semakin matang menilai kepimpinan berdasarkan prestasi, integriti dan keupayaan sebenar, bukan retorik atau percaturan kuasa semata.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast