NIBONG TEBAL – Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes serangan sekumpulan lelaki bertopeng bersenjatakan parang di sebuah restoran makanan di Sungai Bakap di sini, semalam yang mengakibatkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kedua-dua suspek ditahan di negeri ini beberapa jam selepas kejadian berlaku.
“Kedua-dua lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan dan akan direman hari ini di Mahkamah Majistret Jawi.
“Siasatan masih diteruskan termasuk usaha mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai terbabit dalam serangan berkenaan.
“Polis masih menyiasat motif sebenar kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya hari ini.
Azizee turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi polis atau hadir ke balai polis berhampiran.
ARTIKEL BERKAITAN
Seorang maut, dua cedera diserang sekumpulan lelaki bertopeng dengan parang
MalaysiaGazette semalam melaporkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang di sebuah restoran makanan di Sungai Bakap di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa berusia 59 tahun maut dipercayai ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah pada anggota badan.
Manakala dua lagi lelaki yang cedera kini sedang menerima rawatan di hospital.
Difahamkan kira-kira 15 lelaki bertopeng menyerang tiga lelaki tempatan tersebut yang sedang makan di premis
Terdahulu, beberapa rakaman video tular di media sosial memaparkan keadaan mangsa yang cedera termasuk seorang daripada mereka dalam keadaan parah, dipercayai akibat serangan menggunakan parang. – MalaysiaGazette
















