BUKIT MERTAJAM – Seorang kerani operasi pelabuhan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan menimbulkan provokasi sambil mengacukan kayu hoki kepada seorang pemandu lelaki pada Ahad lalu.
Tertuduh, Mohd Zakhri Ahmad, 44, sebelum itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara selama enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menimbulkan provokasi terhadap Muhammad Furqan Mohd Fuad, 27, dengan cara mengacukan sebatang kayu hoki untuk mendatangkan marah yang boleh memecahkan keamanan awam.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Sungai Derhaka di sini, jam 2.44 petang pada 25 Disember lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Percubaan Norfirdaus Azimi Roslan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Dalam rayuan, YBGK memohon denda minimum atas alasan tertuduh merupakan bapa kepada enam cahaya mata serta isteri dengan pendapatan RM2,500 sebulan sebagai kerani operasi di Pelabuhan Pulau Pinang.
“Dia juga telah insaf atas perbuatan itu, memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Video tular bertengkar pegang kayu hoki, dua lelaki direman 4 hari
Media sebelum ini melaporkan, dua pemandu lelaki direman selama empat hari selepas terbabit dalam pertengkaran akibat perselisihan faham di jalan raya.
Salah seorang daripada suspek turut memegang sebatang kayu hoki semasa pertengkaran mulut antara mereka.
Insiden itu mendapat perhatian ramai apabila video yang memaparkan tindakan suspek cuba memprovokasi seorang lelaki tular di media sosial. – MalaysiaGazette
















