Foto Instagram Puteri Sarah.

KUALA LUMPUR – Pelakon Puteri Sarah Liyana menasihati bekas isteri Nubhan iaitu Dr Afifah agar bijak mengawal emosi dalam menghadapi konflik rumah tangga yang sedang berlaku.

Puteri Sarah, 40, berkata, Afifah atau lebih mesra disapa Dr Fie perlu tenang kerana dia kini diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang pernah mengendalikan kes perceraiannya sebelum ini.

Kata ibu tunggal itu, Akberdin merupakan peguam yang bijak menyusun strategi perundangan dan percaya kemenangan akan memihak kepadanya.

“Saya percaya peguam awak sekarang adalah peguam saya dulu, Akberdin. Beliau seorang yang sangat bijak.

“Duduk dan berbincanglah dengan beliau bagaimana untuk dapatkan semula (hak anda) dengan bijaksana,” katanya yang meninggalkan komen tersebut dalam salah satu hantaran Dr Fie di platform Threads.

Pada masa sama, Puteri Sarah turut berharap Dr Fie merahsiakan setiap
perancangan agar tidak memberi kelebihan kepada pihak lawan.

“Kawal emosi anda, bertindak dengan bijak. Jangan beritahu apa-apa rancangan anda.

“Tahu-tahu saja sudah dilaksanakan supaya ia menjadi kejutan kepada pihak sebelah sana. Semoga berjaya. Insha-Allah, semuanya akan baik-baik saja,” katanya.

Sebelum ini, media sosial kecoh dengan tindakan Nibhan menghantar barangan milik bekas isteri ke rumah mentuanya ketika Dr Fie bersama anak serta ibu bapanya bercuti di Vietnam.

Menerusi foto dan video dikongsikan wanita terbabit di Threads, kelihatan barangan peribadi termasuk haiwan peliharaan anak mereka, hamster dilonggokkan di depan rumah ibu bapa dalam keadaan tidak terurus.

Dr Fie juga tidak menyangka bekas suaminya bertindak sedemikian tanpa menunggu proses pembahagian harta sepencarian diputuskan.

Lebih meruntun perasaan apabila dia turut menyatakan perbuatan Nubhan menghantar pakaiannya ke rumah keluarga juga bukan yang pertama kali memandangkan perkara sama sudah pernah berlaku ketika awal perkahwinan mereka.

Terdahulu, Dr Fie dan Nubhan yang bercerai talak dua pada awal bulan ini mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.

Hasil perkongsian hidup selama 10 tahun, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Aafiya, 8, Ahmad Aafan, 6, dan Afzan Nayille, 3. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast