Penganalisis Politik Universiti Malaya, Datuk Prof Dr Awang Azman Awang Pawi.

KUALA LUMPUR – Keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dilihat sebagai langkah menyelamatkan keadaan bagi mengelak gabungan itu ditimpa luka lebih parah.

Pengarah Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Datuk Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat, jika Muhyiddin berkeras untuk kekal, kemelut dalaman melibatkan tekanan daripada Pas dan pergolakan dalam Bersatu sendiri akan mengheret PN kepada kancah perpecahan yang lebih dahsyat.

“Saya kira inilah bibit-bibit asas yang membawa kepada peletakan jawatan.

“Pengunduran itu juga saya lihat didorong oleh dua faktor utama iaitu tekanan luaran daripada rakan sekutu, Pas serta pergolakan dalaman Bersatu yang kini sudah menjadi rahsia umum,” katanya menerusi program SKOP MG malam tadi.

Beliau berkata, krisis komunikasi antara Muhyiddin dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kini berada pada tahap paling kritikal apabila pemimpin nombor satu Pas itu didakwa mula menjauhkan diri.

“Saya lihat Muhyiddin pernah cuba membuka ruang dalam beberapa bulan ini untuk membincangkan isu hubungan Pas dan Bersatu serta masa depan PN.

“Tapi saya difahamkan Presiden Pas sendiri agak semacam dingin lagi-lagi apabila melibatkan kepimpinan tinggi yang seperti cuba menjauhkan diri daripada Muhyiddin dan mengelak untuk berbincang mengenai isu sebenar.

“Saya kira ini juga menjadi punca putus asanya Muhyiddin untuk bergerak ke depan,” katanya lagi.

Menurut Prof Awang lagi, kedinginan hubungan bukan perkara baharu sebaliknya ia rentetan daripada siri kekecewaan Pas terhadap keputusan unilateral Muhyiddin sebelum ini.

“Saya lihat ia bermula apabila Muhyiddin menolak titah Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk Kerajaan Perpaduan tanpa berbincang lanjut dengan Pas selepas PRU-15 diikuti kegagalan siri gerakan menjatuhkan kerajaan atau ‘tebuk atap’.

“Pas telah memberikan ruang kepada Bersatu untuk apa yang dikatakan tebuk atap… namun ia tidak berjaya. Episod inilah sebenarnya menjadi punca kepada segala kedinginan,” katanya.

Jelasnya lagi, ketidakselesaan Pas semakin memuncak apabila Bersatu menamakan semula Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri tanpa rundingan sedangkan Pas difahamkan lebih cenderung kepada individu yang ‘lebih mesra’ dengan mereka.

“Kenapa begitu, sedangkan Pas juga difahamkan mempunyai calon lain, misalnya yang sering disebut-sebut adalah Datuk Seri Hamzah Zainudin yang lebih mesra dengan Pas.

“Kemudian, kemelut di Perlis juga menyaksikan tindakan ADUN Bersatu cuba ‘menumbangkan’ Menteri Besar daripada Pas yang juga besan kepada Abdul Hadi turut menjadi titik tolak terakhir yang mencetuskan ketidaksenangan luar biasa dalam kalangan akar umbi Pas,” katanya.

Mengulas mengenai pergolakan dalaman Bersatu, Prof Awang berkata, desakan daripada sebahagian Ketua-ketua Bahagian agar Muhyiddin berundur juga semakin kuat sehingga berlaku pemecatan dan pergantungan pemimpin dalaman parti tersebut.

“Tekanan daripada luaran dan tekanan daripada dalaman ini saya kira ini yang menyebabkan Muhyiddin membuat keputusan untuk berundur,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast