Tiga lelaki warga China didakwa mengedar lebih 26 kg syabu di Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Tiga lelaki warga China dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis methaphetamin seberat lebih 26 kilogram (kg) pada 20 Disember lalu.

Tertuduh  Xie Zhouji, 38, Zhang Mea, 32, Chen Cheng, 36, mengaku memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Said.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 26,025 gram di sebuah unit di Kompleks Adorna Gold, Jalan Gurdwara di sini, jam 10 malam pada 20 Disember lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding Ahmad Danial memaklumkan mahkamah bahawa tiada tawaran jaminan diberikan dan memohon satu tarikh ditetapkan sementara menunggu laporan kimia.

Mahkamah menetapkan 25 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.

Media pada 23 Disember lalu melaporkan, polis membongkar sindiket dadah antarabangsa dengan rampasan mencecah RM38 juta selepas menahan tiga lelaki warga asing yang bertindak sebagai ahli kimia di Jalan Gurdwara di sini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan

berkata, sindiket itu menggunakan Malaysia sebagai hab pemprosesan dadah sebelum diedar untuk pasaran tempatan dan luar negara.

“Sindiket iu juga menjadikan sebuah kebun durian  seluas 32 hektar di Teluk Bahang sebagai lokasi memproses bahan terlarang itu dengan sewaan tahunan berjumlah RM80,000,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast