Keadaan helikopter Super Lynx Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terlibat dalam insiden pendaratan cemas di perairan Pantai Klebang, Melaka, kira-kira jam 10.50 malam Rabu lalu ketika melakukan penerbangan demonstrasi sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-60 Grup Gerak Khas (GGK), Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Ambang Tahun Baharu 2026. - Gambar tular media sosial.

MELAKA – Kru helikopter Super Lynx Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terlibat dalam insiden pendaratan cemas di perairan Pantai Klebang, malam Rabu lalu masih menerima rawatan di Hospital Melaka sebelum dipindahkan ke Lumut hari ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, Leftenan Komander Afiq Muzani Abdul Aziz yang berperanan sebagai Pegawai Taktikal Udara ke dua (Tactical Control Officer – TACCO) masih dirawat di ICU akibat komplikasi pada paru-paru.

“Pegawai berkenaan akan dipindahkan ke Hospital Angkatan Tentera di Lumut sebaik keadaannya disahkan stabil oleh pihak perubatan.

“Setakat ini Leftenan Komander Afiq masih ditempatkan di ICU Hospital Melaka dan berada dalam pemantauan rapi. Pihak hospital akan memindahkannya ke Lumut selepas keadaannya benar-benar stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh melawat Leftenan Komander Afiq Muzani Abdul Aziz yang mengalami komplikasi pada paru-paru.

Dalam perkembangan sama, Hee Sem berkata, Bintara Kanan Technician Marine Srimala (Kuater Master Udara) Mohammad Zullfika Mohiddi yang mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan betis dilaporkan semakin stabil dan kini dirawat di zon kuning Hospital Melaka.

“Zullfika yang dirawat di zon kuning dan berada dalam keadaan stabil dan kita jangkakan beliau akan dipindahkan ke Lumut hari ini untuk rawatan seterusnya,” ujarnya.

Khamis lalu, media melaporkan helikopter TLDM itu terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di perairan Klebang kira-kira jam 10.50 malam Rabu lalu metika melakukan penerbangan demonstrasi sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-60 Grup Gerak Khas (GGK), Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Ambang Tahun Baharu 2026.

Ketika kejadian, empat kru berada di dalam helikopter berkenaan termasuk Leftenan Komander Muhamad Kamal Abdul Rani dan Leftenan Mohammad Faiz Razali TLDM.

Kedua-dua mereka masing-masing berperanan sebagai juruterbang dan TACCO yang sudah dibenarkan keluar apabila disahkan stabil selepas kejadian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast