KUALA LUMPUR – Spekulasi mengenai individu yang akan memimpin Perikatan Nasional (PN) susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, semakin hangat.
Walaupun terdapat penganalisis politik percaya calon dalam Pas dan Bersatu mempunyai potensi untuk menggalas peranan tersebut namun kedudukan Tan Sri Abdul Hadi Awang selaku Presiden Pas dilihat sebagai pilihan natural untuk memimpin PN.
Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, berdasarkan kedudukan Abdul Hadi yang setara dengan presiden parti komponen Perikatan lain seperti Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), di mana kesemuanya dipimpin oleh presiden parti masing-masing.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2026/01/01/hadi-calon-tepat-galas-pengerusi-pn-tun-faisal/
Katanya, pencalonan pemimpin PAS lain seperti Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man atau Naib Presiden Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang disebut-sebut sebagai pemimpin masa depan parti itu, berpotensi mewujudkan situasi “janggal”, memandangkan presiden parti komponen lain mungkin sukar menerima keadaan tersebut.
Tambah beliau, mana-mana nama yang dikemukakan oleh PAS perlu mendapat lampu hijau daripada rakan-rakan dalam Perikatan serta persetujuan Majlis Tertinggi Perikatan.
“PAS boleh mencadangkan mana-mana pemimpin mereka, namun penerimaan oleh rakan gabungan dan juga masyarakat umum adalah perkara yang berbeza.
“Saya percaya PAS juga akan mempertimbangkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai pengerusi Perikatan yang baharu. Hamzah memerlukan restu dan sokongan partinya sendiri sekiranya beliau dilantik sebagai pengerusi Perikatan.
“Namun idea itu boleh berdepan halangan berikutan masalah dalaman yang sedang dihadapi Bersatu,” katanya seperti yang dilaporkan sebuah portal berita.
Jelas Hisommudin, walaupun Pas dilihat ‘selesa’ dengan Hamzah, beliau beliau perlu terlebih dahulu memperoleh lampu hijau daripada parti sendiri sebelum namanya boleh dicadangkan bagi jawatan tersebut.
Beliau berkata kegagalan melantik pengerusi baharu dalam masa terdekat boleh mencetuskan krisis kepimpinan, dan jika keadaan itu bertambah buruk, ia berpotensi membawa kepada perpecahan dengan kedua-dua parti memutuskan hubungan antara satu sama lain.
Beliau turut berpandangan bahawa Perikatan mungkin kehilangan nilai tambah yang diperoleh di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya PAS mengambil alih teraju.
Parti seperti MIC yang pernah menyatakan minat menyertai PN sebelum ini mungkin menilai semula hasrat tersebut berikutan imej PAS sebagai sebuah parti yang dianggap “kurang inklusif”.
“Inisiatif Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) yang diperkenalkan oleh Muhyiddin juga mungkin terhenti.
“Hasrat untuk menarik sokongan pengundi bukan Melayu kepada Perikatan juga berkemungkinan tidak berjaya sekiranya PAS berada di barisan hadapan kepimpinan Perikatan,” tambahnya lagi. -MalaysiaGazette
















