KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa menegaskan segala usaha pihak tertentu untuk memecah-belahkan Pas tidak akan berjaya malah disifatkan sebagai cubaan terdesak yang akhirnya menemui kegagalan.
Beliau berkata, Pas kekal kukuh dan bersatu meskipun berdepan pelbagai serangan politik yang bertujuan melemahkan parti serta mencetuskan perpecahan dalaman dalam kalangan pimpinan dan ahli akar umbi.
“Mereka cuba nak pecah belahkan Pas. Alhamdulillah mereka tetap gagal. Pas jalan terus,” katanya dalam satu kenyataan ringkas yang dimuat naik menerusi platform media sosial.
Annuar bagaimanapun tidak menamakan individu-individu yang didakwanya cuba memecah-belahkan parti berkenaan.
Menurut Annuar, kekuatan Pas terletak pada disiplin ahli, kesepaduan kepimpinan serta kejelasan prinsip perjuangan yang berteraskan Islam dan kepentingan rakyat menjadikan parti itu sukar digugat walaupun diasak dari pelbagai arah.
Beliau turut menegaskan Pas telah melalui pelbagai ujian politik sejak sekian lama dan sentiasa keluar lebih matang serta bersatu, sekali gus membuktikan ketahanan parti tersebut dalam menghadapi tekanan dalaman mahupun luaran.
Kenyataan itu hadir ketika landskap politik negara menyaksikan ketegangan yang semakin ketara antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) khususnya berkait hala tuju dan strategi dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).
Hubungan antara kedua-dua parti itu dilihat diuji susulan perbezaan pandangan berkaitan kepimpinan, pendekatan politik serta isu pembahagian peranan dalam gabungan sekali gus mencetuskan spekulasi wujudnya persaingan pengaruh di peringkat akar umbi.
Pergolakan tersebut turut mencetuskan dakwaan terdapat pihak tertentu yang cuba mempengaruhi sokongan ahli Pas selain mewujudkan persepsi kononnya berlaku perpecahan dalaman dalam parti itu.
Bagaimanapun, Annuar menegaskan, Pas kekal fokus kepada perjuangan asalnya dan tidak akan terperangkap dengan permainan politik yang bertujuan melemahkan perpaduan parti, sebaliknya akan terus mara demi kepentingan Islam dan rakyat. – MalaysiaGazette
















