Suraya Sulaiman

JOHOR BAHRU – Perbalahan dan ketidaksefahaman yang berterusan dalam parti-parti politik Melayu ketika ini menyebabkan suara orang Melayu menjadi tidak sekata dan semakin lemah.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, ia menyukarkan usaha memperjuangkan agenda-agenda penting yang melibatkan kelangsungan ekonomi, sosial dan masa depan generasi akan datang.

“Fenomena ini bukan sahaja melemahkan kekuatan politik orang Melayu, malah secara langsung menjejaskan kestabilan landskap politik negara serta menghakis keyakinan rakyat terhadap kepimpinan politik yang seharusnya menjadi payung kepada kepentingan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suraya berkata, keadaan itu berlaku dalam keadaan rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat, peluang pekerjaan terhad serta cabaran dalam aspek pendidikan dan kebajikan,

Jelasnya, pertelagahan politik yang tidak berkesudahan tu hanya menambah keresahan dan kekecewaan rakyat.

Suraya berkata, perbezaan pandangan dan pendekatan dalam politik merupakan perkara yang lumrah dalam sebuah negara demokrasi.

Sehubungan itu, Pejuang Johor berpendirian sudah tiba masa semua parti Melayu melakukan muhasabah yang jujur dan menyeluruh terhadap hala tuju masing-masing.

“Perbezaan ideologi dan pendekatan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk bermusuhan, sebaliknya perlu dimanfaatkan sebagai ruang dialog yang sihat, pertukaran pandangan secara terbuka serta usaha mencari titik persamaan demi kepentingan yang lebih besar iaitu kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara,” tegasnya.

Pihaknya juga menyeru semua pimpinan parti Melayu agar menghentikan politik perpecahan dan retorik yang memecahbelahkan masyarakat.

“Sejarah telah membuktikan bahawa kekuatan dan maruah orang Melayu hanya dapat dipertahankan melalui perpaduan, sikap saling menghormati serta kesediaan untuk bekerjasama atas asas prinsip dan integriti,” ujarnya lagi.

Pejuang Johor, katanya, kekal komited untuk memainkan peranan sebagai suara yang konsisten membawa mesej perpaduan, politik berprinsip dan tadbir urus yang berintegriti. sebagai keutamaan utama,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast