KOTA TINGGI – Kepimpinan tertinggi UMNO masih belum dimaklumkan berkenaan cadangan kerjasama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) seperti yang disuarakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Menurut Ahli Parlimen Kota Tinggi itu, kerjasama antara UMNO dan Pas menerusi MN adalah pandangan peribadi Dr Muhamad Akmal serta pucuk pimpinan tidak ada membincangkan perkara itu sehingga kini.

“Itu pandangan dia. Pandangan individu ataupun mungkin pandangan kebanyakan pemuda tetapi parti bergerak atas sokongan dan keputusan bersama oleh pelbagai peringkat. Tak ada (perbincangan).

“Kita belum mesyuarat lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Komuniti Kampung Malam Di Dewan Terbuka Pangkalan Kota di sini hari ini.

Pada 25 Disember lalu, Dr Muhamad Akmal mencadangkan supaya Perikatan Nasional (PN) dibubarkan dan MN dihidupkan semula susulan polemik politik di Perlis.

Malah, katanya, usaha supaya memperkasakan MN dan bukannya PN itu sudah dibangkitkan sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sebelum ini, MN yang piagamnya ditandatangani pada 14 September 2019 antara UMNO dan Pas boleh dianggap berkubur apabila Pas memuktamadkan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN bagi menghadapi PRU-15.

Keputusan Pas itu sekali gus melanggar syarat yang ditetapkan oleh UMNO, iaitu parti ter­sebut perlu meninggalkan Ber­satu jika mereka mahu kekal bekerjasama dalam MN. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast