Aminah diberi penerangan semasa melawat pameran pada Majlis Cakna Ilmu Tanah: Perkongsian UTM dan Komuniti Desa di Kampung Parit Dato’ Onn, Api-Api, Pontian hari ini.

PONTIAN – Tahap kefahaman masyarakat luar bandar terhadap pengurusan dan pentadbiran tanah didapati masih berada pada tahap minimum.

Pensyarah Kanan Fakulti Alam Bina dan Kejuruteraan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Aminah Mohsin menjelaskan, keadaan itu sekali gus membuka ruang kepada pelbagai salah faham dan masalah perundangan berkaitan hak milik tanah.

Beliau yang merupakan pakar dalam Jabatan Penilaian Harta dengan kepakaran khusus dalam pentadbiran dan pembangunan tanah berkata, isu berkaitan tanah sering berlaku.

Jelasnya, ini kerana kurangnya pendedahan dan pengetahuan masyarakat, khususnya di kawasan desa, terhadap prosedur serta undang-undang sedia ada.

“Antara kes yang kerap berlaku melibatkan tanah wakaf, pindah milik atas dasar kasih sayang sama ada memerlukan khidmat peguam atau tidak.

“Ini termasuk isu pembelian lot lidi yang bukan sahaja melibatkan penduduk kampung, malah golongan profesional dan ilmuwan turut terjebak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Cakna Ilmu Tanah: Perkongsian UTM dan Komuniti Desa di Kampung Parit Dato’ Onn, Api-Api, di sini hari ini.

Dr. Aminah menjelaskan, pembelian lot lidi sering disalah tafsir sebagai pemilikan tanah yang sah, sedangkan hakikatnya transaksi itu tidak diiktiraf daripada sudut perundangan dan boleh menimbulkan risiko besar kepada pembeli pada masa hadapan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan penganjuran program seperti ini bagi memberi pendedahan awal kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati dan berpengetahuan sebelum membuat sebarang urusan berkaitan tanah.

“Matlamat utama program ini adalah untuk mendidik komuniti desa agar memahami asas pengurusan tanah, sekali gus mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa penipuan atau terlibat dalam pertikaian tanah yang berpanjangan,” katanya.

Program anjuran Universiti Teknologi Malaysia itu turut membincangkan pelbagai isu penting termasuk pengurusan tanah rizab Melayu, masalah tanah terbiar serta peruntukan-peruntukan utama di bawah Akta Tanah Negara.

UTM melihat pendekatan libat urus secara langsung bersama-sama komuniti sebagai kaedah paling berkesan untuk merapatkan jurang pengetahuan antara pihak akademik dan masyarakat luar bandar.

UTM berharap usaha dapat meningkatkan kesedaran orang ramai sekali gus menyumbang kepada pengurusan tanah yang lebih tersusun dan berdaya tahan di peringkat akar umbi.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast